suria

Pakistan-Malaysia Teroka Bidang Kerjasama Baharu

Sartaj mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, Khamis.

KUALA LUMPUR: Pakistan merancang untuk meneroka bidang kerjasama baharu dengan Malaysia, terutamanya dalam industri halal.

Menteri Luar Pakistan, Sartaj Aziz berkata, Malaysia telah membuktikan kejayaan dalam sektor tersebut dan terus mencatat kemajuan.

"Malaysia dan Pakistan boleh berkongsi kepakaran dan belajar daripada satu sama lain untuk meningkatkan standard dan jenama produk halal.

"Saya akan mempelawa rakan sejawat saya dari Malaysia untuk berkunjung ke Pakistan dan berbincang mengenai kemungkinan kerjasama baharu," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Terdahulu, Sartaj yang menghadiri Forum Serantau Asean Ke-22 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean Ke-48 di sini, ditemu bual di Bernama Today, sebuah program BernamaTV.

Selain industri halal, Sartaj berkata Pakistan turut berminat untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor pertanian, pertahanan dan pendidikan.

Mengulas mengenai Asean, beliau berkata ia merupakan contoh baik bagi kerjasama serantau yang berjaya yang boleh dicontohi orang lain.

"Walaupun perbezaan budaya dan sistem politik, semua negara anggota Asean menemui titik persamaan dan tidak campur tangan dalam isu dalaman mana-mana negara anggota.

"Selain itu, cara Asean bekerjasama dengan Kesatuan Eropah merupakan satu lagi contoh kejayaan," katanya.

Pada 2013, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pakistan berjumlah US$1.88 bilion. Bagaimanapun, imbangan perdagangan tahunan memihak kepada Malaysia disebabkan eksport minyak sawit Malaysia ke Pakistan.

Eksport Malaysia yang lain termasuk produk elektrik dan elektronik, kayu dan produk kayu, mesin dan peralatan, bahan kimia dan produk makanan diproses.

Eksport utama Pakistan ke Malaysia ialah tekstil dan pakaian, beras, sayur-sayuran dan makanan laut sejuk beku.-- Bernama

Pakistan, Malaysia, Sartaj Aziz

Artikel Lain