suria

UEM Sunrise Jangka Projek Kondominium Habis Dijual

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menyasarkan projek kondominium terbaharunya, Residensi Sefina Mont' Kiara habis dijual pada awal tahun depan, didorong oleh minat yang tinggi daripada orang ramai.

Pemangku Ketua Pegawai Pemasaran Zadil Hanief Mohamad Zaidi berkata setakat ini, kadar jualan pembangunan tersebut mencapai sehingga 60 peratus daripada pembeli tempatan dan asing.

"Kami akan melakukan sedaya upaya kami untuk memastikan pelanggan memahami sepenuhnya nilai yang kami tawarkan.

"Kami mempamerkan unit kami kepada orang ramai dan ini merupakan sebahagian daripada proses pemasaran dan jualan kami untuk memastikan orang awam tahu mengenai pembangunan kami," katanya kepada pemberita pada pelancaran Residensi Sefina Mont' Kiara di sini, Rabu.

Harga antara RM1.06 juta dan RM1.52 juta seunit, projek itu disasarkan kepada golongan profesional muda, eksekutif dan pasangan baru berkahwin serta mereka yang ingin tinggal berdekatan dengan bandar.

Residensi Sefina Mont' Kiara dengan 35 tingkat, nilai pembangunan kasar sebanyak RM307 juta, menawarkan 245 unit kediaman dengan binaan antara 1,333 kaki persegi dan 1,771 kaki persegi.

Dijangka siap menjelang Jun 2019, pembangunan itu akan mempunyai antaranya  'Star deck', taman rempah ratus, laluan terapeutik, taman kesihatan dan taman permainan kanak-kanak.

Kondominium, UEM Sunrise

Artikel Berikut

Artikel Lain