suria

Usahawan Digesa Manfaat Kuasa Beli Pasaran Luas China - Perdasama

Naim Mohamad

KUALA LUMPUR: Usahawan tempatan digesa mengambil peluang meneroka pasaran luas China yang mempunyai kuasa beli yang tinggi, kata Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Naim Mohamad.

Beliau berkata, selain itu usahawan tempatan perlu memanfaatkan peluang kelebihan yang boleh membantu mereka menguasai pasaran negara berkenaan.

"Hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan China, persekitaran dan ekosistem perniagaan yang baik, pengaturan kewangan yang kukuh serta kebolehan memahami bahasa Mandarin seharusnya membantu syarikat tempatan memasarkan produk ke dalam pasaran China," katanya kepada Bernama selepas taklimat mengenai Ekspo Antarabangsa Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 Guangdong 2015 di sini, Rabu.

Perdasama menjadikan China sebagai keutamaan perdagangan atas beberapa faktor antaranya negara itu merupakan ekonomi kedua terbesar dunia serta mempunyai pengguna berjumlah hampir satu bilion.

Pada 2010, China mengatasi Jepun dalam menjadi ekonomi kedua terbesar dunia, dan pada 2014, China berjaya mengatasi pencapaian Amerika Syarikat.

"Memperkukuh posisi perniagaan di peringkat antarabangsa adalah penting kerana Malaysia mempunyai pasaran yang kecil, manakala dari aspek Asean, persaingan adalah sengit di samping kuasa beli yang rendah," katanya.

Ekspo berkenaan, yang dianjur bersama-sama Perdasama dan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), akan berlangsung di Guangdong, China mulai 29 hingga 31 Oktober 2015 dengan penyertaan syarikat dari 42 negara.

Penyertaan dalam ekspo antarabangsa akan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mendapatkan kontrak pembekalan di luar negara.

Naim turut menegaskan penubuhan Bank Penjelasan Renminbi di Malaysia akan membantu melengkapkan infrastruktur kewangan serta merancakkan hubungan kewangan dan ekonomi dua hala.

"Usahawan tidak perlu berdepan dengan risiko kerugian apabila membuat pertukaran mata wang berdasarkan kadar tukaran wang dolar Amerika Syarikat kepada ringgit kerana transaksi ringgit dan renmimbi boleh dilakukan secara terus," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MCCC, C.K. Liew, berkata, perusahaan Malaysia boleh memanfaatkan 'One Belt, One Road' oleh China, iaitu satu usaha untuk menggalakkan pelaburan di luar negara.

"Malaysia sejak dulu terletak di laluan sutera dan ini akan membantu negara membina prasarana dan menggalakkan perdagangan," katanya.

Justeru itu, ekspo berkenaan akan menyediakan platform kepada syarikat tempatan mempamerkan produk mereka bagi meningkatkan jualan masing-masing.

-- Bernama
Perdasama, Naim Mohamad, China

Artikel Sebelum

Artikel Lain