suria

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Cadang Buka Mini Estet

KUANTAN: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan mewujudkan ladang berkonsepkan mini estet bagi menggalakkan usahawan nanas menanam pelbagai tanaman di ladang milik mereka.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Mahmud Kassim berkata usahawan nanas yang sebelum ini mengamalkan penananam tunggal, dapat mempelbagaikan tanaman lain seperti kelapa sawit dan getah.

"Program di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 itu melibatkan sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM17 juta.

"Di Pahang, kawasan seluas 160 hektar di Muadzam Shah dikenal pasti untuk projek mini estet ini. Projek ini juga akan dilaksanakan di Johor dan beberapa negeri lain," katanya selepas merasmikan kursus 1Malaysia Entrepreneur (1Met), di sini, Isnin.

Turut hadir, Ketua Unit Strategi Lautan Biru (NBOS) LPNM Rosmizan Yusof.

Sementara itu, Mahmud berkata melalui kursus tersebut peserta akan dapat memantapkan lagi ilmu keusahawanan yang ada di samping membina rangkaian bagi meluaskan perniagaan dan pemasaran produk mereka.

"Mereka boleh bertukar pendapat mengenai pasaran nanas yang boleh dijalankan pada masa akan datang. Pada masa sama, mereka boleh mendapatkan pembekal dan sebagainya," katanya.

Kursus tiga hari yang bermula semalam itu melibatkan 45 peserta dari Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.--Bernama

LPNM, Mahmud Kassim, nanas

Artikel Lain