suria

LTH Kekal Tanggung Kos 47 Peratus Bagi Setiap Jemaah

KOTA BAHARU: Lembaga Tabung Haji terus menanggung kos sebanyak RM7,290 atau 47 peratus daripada kos sebenar RM17,270 bagi setiap jemaah haji kali pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah Kumpulan Tabung Haji Datuk Johan Abdullah berkata ini bagi membolehkan bayaran haji kekal pada RM9,980 bagi seorang jemaah haji.

"Tabung Haji tetap mengekalkan bayaran kepada jemaah haji walaupun kos meningkat setiap tahun bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Kursus Perdana Haji peringkat negeri Kelantan Musim Haji 1436H/2015M yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Tabung Haji Kelantan Wahyudin Tamami di sini, Jumaat malam.

Katanya bagi negeri Kelantan, sebanyak 960 jemaah akan berlepas ke Tanah Suci Makkah melalui enam penerbangan 'direct transit' dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Madinah/Jeddah bermula 16 Ogos hingga 3 Sept depan.

Mengulas mengenai kursus berkenaan, Johan berkata ia memberi peluang kepada bakal haji untuk mempelajari cara-cara mengerjakan ibadah haji dengan tertib dan betul. 

TH, Haji, Jemaah

Artikel Lain