suria

EndauPV Industries Sasar Jualan RM50 Juta Setahun

Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Harjeet Singh menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Pengarah Urusan EndauPV Industries Sdn Bhd Ahmad Abu Kasim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Green Solution Co. Ltd. Hong Hyung Eui (kanan) pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang EndauPV Industries Sdn Bhd yang di adakan di Sendayan TechValley hari ini. Turut hadir Pengerusi Green Solution Co. Ltd. Yong-Dae Jung.

SENDAYAN: Pembuat dan pengilang panel solar milik bumiputera, EndauPV Industries Sdn Bhd (EndauPV), menyasarkan untuk memperoleh nilai jualan sebanyak RM50 juta setahun berikutan peningkatan permintaan produk itu dari Afrika, Indonesia dan Filipina.

Pengarah Urusan EndauPV Ahmad Abu Kassim berkata, nilai tempahan yang diterima syarikat itu setakat ini mencecah AS$9 juta dari pelanggan di Kenya, Afrika.

"Kami dalam proses perbincangan dengan beberapa pelanggan berpotensi dari pasaran Afrika dan negara Asia Tenggara lain yang berminat.

"Produk solar modul keapungan badan bersepadu dan modul solar jenis blok pasang siap adalah yang pertama di Asia Tenggara.

"Ia turut mendapat permintaan tinggi kerana kelebihannya yang boleh digunakan di daratan serta terapung pada permukaan air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Kilang EndauPV yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh, di sini, Khamis.

Kilang yang baharu beroperasi empat bulan itu, menelan kos RM8 juta dan mempunyai kapasiti pengeluaran produk solar bernilai AS$30 juta setahun.

Menurutnya, produk solar keluaran EndauPV menggunakan bahan mentah tempatan dan 70 peratus bagi pasaran import manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.

Sementara itu, pada majlis sama, Harjeet Singh turut menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman antara EndauPV dan syarikat Korea Selatan, Green Solution Co. Ltd.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani Ahmad bagi pihak EndauPv manakala Green Solution diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hong Hyung Eui.

Ia melibatkan kerjasama pembangunan produk dalam bidang teknologi hijau serta penghasilan produk-produk bagi keperluan ladang solar terapung.

Sementara itu, Harjeet Singh menyifatkan jalinan kerjasama EndauPV dan Green Solution itu sebagai selaras hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia pintu masuk untuk produk berteknologi hijau bagi pasaran Asean.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain