suria

Red Hat Kesan Potensi Malaysia, Tubuh Anak Syarikat Untuk Tingkat Kehadiran

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian sumber terbuka global, Red Hat Inc nampak potensi di pasaran Malaysia dengan membuka anak syarikat, Red Hat Malaysia Sdn Bhd, bagi mengukuhkan lagi kehadirannya di negara ini.

Pengarah Kanan dan Pengurus Besar di Asean, Damien Wong Yok Weng berkata, Malaysia adalah pasaran penting dan ia mempunyai potensi untuk mengguna pakai teknologi sumber terbuka di semua industri.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pengumuman rasmi anak syarikat itu di sini hari ini, Wong berkata, dari segi strategi pengembangan, Red Hat telah mengkaji semua faktor dalam industri teknologi maklumat (IT).

Memetik satu laporan daripada syarikat penyelidikan dan penasihat IT, Gartner, beliau berkata, perbelanjaan IT di Malaysia diramal berkembang 7.5 peratus pada 2015 berbanding penurunan dalam perbelanjaan IT global -1.5 peratus, yang menunjukkan kesungguhan syarikat Malaysia memanfaatkan IT untuk menjadi lebih berkesan dan berjaya.

"Di samping itu, sokongan yang kami terima daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) untuk meningkatkan pensijilan kemahiran Red Hat serta peningkatan penggunaan sumber terbuka dalam sektor awam adalah antara faktor yang dipertimbang untuk mengukuhkan kedudukan kami di sini," tambahnya.

Red Hat, syarikat berpangkalan di Amerika yang disenarai di Bursa Saham New York, adalah syarikat perisian yang menawarkan produk perisian sumber terbuka, termasuk awan, maya, penyimpanan dan teknologi perisian pertengahan.

Pendigitalan di seluruh dunia memberi kesan kepada cara kita bekerja, hidup dan bermain, kata Yok Weng, dengan menambah, penggiat industri besar terus memanfaatkan inovasi ke atas data besar, mudah alih dan teknologi awan yang dipacu sumber terbuka dan inovasinya.

Sebagai peneraju dalam bidang terbabit, beliau berkata, Red Hat terus mencatat pertumbuhan pendapatan dua angka dan mencatat pertumbuhan pendapatan 53 suku berturut-turut sehingga suku pertama tahun kewangan 2016 berakhir 31 Mei 2015.

Pada tahun kewangan 2015 berakhir 28 Februari 2015, Red Hat mencatat pendapatan AS$1.79 bilion berbanding AS$1.53 bilion setahun lalu.

"Perniagaan tradisional kami iaitu penawaran berkaitan infrastruktur berkembang 15 peratus pada tahun kewangan 2015 manakala portfolio teknologi yang sedang muncul berkembang 45 peratus, lebih tinggi daripada mana-mana syarikat berasaskan sumber terbuka yang lain di dunia," katanya.

Yok Weng berkata, Asia Pasifik menyumbang kira-kira 20 peratus kepada pendapatan global pada suku lepas, iaitu lebih tinggi daripada tahun lalu, menunjukkan pertumbuhan yang agresif.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain