suria

Mah Sing Sasarkan Jualan RM300 Juta Hartanah Di Pulau Pinang

Ferringhi Residence antara projek pembangunan Mah Sing di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd, menyasarkan keuntungan RM300 juta daripada jualan hartanah di Pulau Pinang dalam tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Teh Heng Chong, berkata kadar pengambilan bagi projek-projek syarikat itu adalah sangat baik dan sasaran itu akan dapat dicapai.

Projek-projek itu termasuklah kondo villa Ferringhi Residence, pembangunan bersepadu bandar Southbay dan banglo resort tiga tingkat di Lagenda@Southbay.

"Kami yakin dengan projek di Pulau Pinang dan kami percaya mereka akan dapat menyumbang kira-kira 11 peratus kepada jumlah jualan kumpulan kami dalam tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran galeri pameran gaya hidup baharu di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kumpulan itu masih mempunyai kira-kira 33 hektar tanah yang belum dibangunkan di Pulau Pinang.

"Baki simpanan tanah yang belum dibangunkan, sekarang ini hanya boleh bertahan sehingga lima atau lapan tahun, kumpulan itu giat meneroka potensi pengambilalihan tanah di Pulau Pinang," katanya.

Kumpulan itu akan melancarkan fasa kedua Ferringhi Residence berikutan sambutan yang amat menggalakkan ke atas fasa satu yang telah siap.

Beliau berkata Ferringhi Residence 2, dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM735 juta, menawarkan 632 unit peranginan kondominium dengan pegangan bebas.

"Kami sedang menetapkan projek ini dengan binaan dari 1,208 kaki persegi hingga 2,910 kaki persegi dan berharap untuk melancarkannya dalam tempoh tiga bulan akan datang," katanya.

Beliau berkata projek ini juga akan dipasarkan di luar negara memandangkan  pembangunan resort ini menggambarkan kehidupan percutian yang terletak di kawasan pelancong yang terkenal iaitu Batu Ferringhi.

"Seperti projek-projek lain, Ferringhi Residence 2 juga akan dipromosikan di Singapura, Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan China," katanya. -- Bernama

Mah Sing, Ferringhi Residence

Artikel Lain