suria

MTDC Urus Dana RM600 Juta Untuk Tingkat Penggunaan Teknologi Perniagaan

Norhalim Yunus

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), kini mengurus dana berjumlah RM600 juta bagi membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam kalangan perniagaan Malaysia.

Ketika negara menuju Wawasan 2020, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata, antara komponen utama ialah mewujudkan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi dan melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan dan pendapatan tinggi.

Beliau berkata MTDC telah berkembang dan berinovasi, daripada modal teroka kepada usaha membantu syarikat yang memerlukan dana untuk melabur, selain membantu syarikat teknologi dalam pelbagai peringkat pertumbuhan, daripada syarikat mula beroperasi, perkembangan dan syarikat yang melebarkan sayap ke luar negara.

"Kami memberi peluang kepada syarikat untuk mengakses pelbagai kedudukan  yang berbeza, jenis yang berlainan serta gabungan pembiayaan yang berbeza juga merupakan satu inovasi," katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Norhalim berkata MTDC kini menguruskan lima dana - Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (R and D) (CRDF), dana Pengambilalihan Teknologi (TAF), Dana syarikat Perniagaan Baharu (BSF), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF) dan Dana Pengembangan Bumiputera (BEF).

Beliau berkata CRDF dan TAF diberikan dalam bentuk geran, kepada syarikat-yang mahu mengkomersialkan R and D tempatan dari universiti dan institusi penyelidikan selain untuk memudahkan perolehan teknologi asing untuk digabungkan dalam aktiviti pembuatan.

"Dana selebihnya adalah dalam bentuk 'quasi-equity', dengan MTDC memiliki beberapa saham keutamaan boleh tebus dalam syarikat-syarikat pelaburannya, yang secara umum sebanyak 30 peratus, dan boleh ditebus apabila syarikat-syarikat mahu berbuat demikian," katanya.

Bagi peruntukan dana, beliau berkata CRDF dan TAF adalah dari Mosti manakala BGF dan BSF dari Kementerian Kewangan dan BEF daripada Unit Pemandu Agenda Bumiputra (Teraju) kerajaan.

Ia disediakan dan diperuntukkan setiap dua tahun memandangkan ia adalah berasaskan pelan pelaksanaan, katanya.

Bagi 2015, MTDC masih mempunyai peruntukan sebanyak RM206.8 juta untuk disalurkan melalui lima dana, kata Norhalim, sambil menambah bahawa RM23.04 juta telah dikeluarkan kepada 11 syarikat setakat ini, dan masih terdapat baki RM183.76 juta untuk diluluskan.

Bagi meningkatkan lagi penggunaan teknologi dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana, selain menyediakan dana, agensi itu mewujudkan jabatan perkhidmatan tambah nilai bagi membantu syarikat membangunkan perniagaan, pemasaran dan pengumpulan dana jika syarikat memerlukan lebih daripada yang telah disediakan oleh MTDC, katanya.

MTDC juga mempunyai beberapa inkubator dengan kerjasama lima universiti iaitu UTM-MTDC, UPM-MTDC, UKM-MTDC, FRIM-MTDC dan UiTM-MTDC, untuk meningkatkan aktiviti pembangunan teknologi, katanya.-- Bernama

MTDC, Norhalim Yunus

Artikel Lain