suria

Maybank IB Terpilih Sebagai Bank Pelaburan Terbaik Malaysia

KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (Maybank IB) terpilih sebagai Bank Pelaburan Terbaik di Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2015.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Maybank IB berkata, menurut Euromoney, anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pihaknya meningkatkan pendapatan ketika pihak lain gagal melakukannya.

Euromoney juga berkata, paparan kukuh dalam pasaran modal ekuiti serta pasaran modal hutang disokong oleh prestasi baik dalam penggabungan dan pengambilalihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, John Chong berkata, bank itu amat berbangga menerima anugerah terbabit dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan berikutan sokongan dan kepercayaan berterusan mereka.

"Pengiktirafan ini mengesahkan kepercayaan kami yang pertumbuhan konsisten dan jangka panjang diperolehi daripada usaha membina hubungan mapan dengan pelanggan dengan terus memberikan yang terbaik kepada mereka," katanya.

Anugerah Asia berprestij Euromoney dilihat sebagai penanda aras untuk firma terkemuka dalam perkhidmatan kewangan di rantau ini dan disaing sengit dalam pelbagai pasaran dan kategori.

Anugerah terbabit diadakan pada 16 Julai 2015 di Hong Kong.

Maybank IB juga baru-baru ini dipilih sebagai Firma Ekuiti Tempatan Terbaik di Malaysia oleh Anuegerah Bank Tempatan Terbaik Asiamoney.

Asiamoney menyebut 'peningkatan dalam penguasaan pasaran dalam aktiviti pasaran modal ekuiti utama di Malaysia ketika volum keseluruhan kekal tidak berubah' Maybank IB sebagai satu daripada alasan penting menganugerahkan bank pelaburan berkenaan.

Ia juga disebabkan 'urus niaga berganda Maybank IB dalam tempoh berkenaan kepada 14 di samping meningkatkan penguasaan pasaran kepada 17 peratus daripada 11.5 peratus, kata Asiamoney.

Anugerah itu berdasarkan gabungan penyelidikan dalaman dan cadangan daripada pakar industri seperti penganalisis serta pengurus dana. -- Bernama

Maybank IB, Euromoney

Artikel Lain