suria

Nepal Airlines Tawar 'Beli Dua, Percuma Satu' Tiket KL-Kathmandu

KATHMANDU: Syarikat penerbangan kebangsaan Nepal, Nepal Airlines Corporation (NAC), mengumumkan tawaran 'beli dua percuma satu' bagi laluan Kuala Lumpur-Kathmandu bertujuan menarik lebih banyak penumpang.

NAC memberi satu tiket percuma untuk pembelian dua tiket bagi penumpang yang mengambil penerbangan dalam sektor Kuala Lumpur, menurut kenyataan NAC hari ini.

Ia dibuat susulan penurunan aliran penumpang berikutan gempa bumi pada 25 April selain pertelingkahan antara kerajaan Nepal dan agensi tenaga kerja berhubung bayaran untuk menghantar pekerja migran Nepal ke beberapa negara termasuk Malaysia.

Tawaran itu sah bagi tiket pergi balik sehingga pengumuman selanjutnya dibuat dan hanya bagi kelas ekonomi, menurut kenyataan itu.

NAC menetapkan tambang pergi balik sektor Kathmandu-Kuala Lumpur hanya US$340 tidak termasuk cukai, dan menyifatkannya sebagai kompetitif.

Aliran penumpang dari dan menuju Kathmandu menurun apabila pelancong membatalkan tempahan mereka selepas gempa bumi dahsyat pada 25 April yang mengorbankan hampir 9,000 orang.

Syarikat penerbangan kehilangan lebih banyak penumpang baru-baru ini berikutan penurunan jumlah pekerja migran yang meninggalkan Nepal disebabkan pertelingkahan antara Kerajaan Nepal dan agensi pengambilan pekerja berhubung bayaran yang perlu dilunaskan pekerja.

Hampir 75 peratus penumpang bagi sektor Kathmandu-Kuala Lumpur terdiri daripada pekerja migran Nepal. Berikutan penurunan jumlah pekerja migran baru-baru ini, syarikat penerbangan mengurangkan dengan mendadak penerbangan mereka bagi sektor Kathmandu.

Kerajaan Nepal baru-baru ini mengumumkan keputusannya hanya untuk menghantar pekerja migran ke Malaysia dan beberapa negara Teluk dengan syarat mereka diberi visa serta tiket penerbangan percuma oleh majikan.

Agensi pengambilan pekerja menentang keputusan itu dan menghentikan proses penghantaran pekerja migran Nepal ke luar negara sejak seminggu lepas.

Malaysia merupakan destinasi paling popular bagi pekerja Nepal.-- Bernama

Nepal Airlines, Kathmandu

Artikel Lain