suria

PKS Enggan Daftar Perniagaan, Bimbang Dicukai - SME Corp

KUALA LUMPUR: Sebahagian peniaga kecil memilih untuk tidak mendaftar perniagaan bagi mengelak daripada dikenakan cukai perniagaan, kata Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia Datuk Hafsah Hashim.

Beliau menekankan bahawa kebimbangan dikenakan cukai korporat dan kos pendaftaran perniagaan yang tinggi merupakan dua faktor utama peniaga memilih untuk tidak mendaftarkan perniagaan mereka.

"Cukai korporat dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak dikenakan ke atas peniaga kecil, dan ini perlu disampaikan kepada mereka agar mereka sedar bahawa mendaftar perniagaan adalah lebih baik kerana dapat meningkatkan  pertumbuhan syarikat dan mengembangkan perniagaan.

"Dan apabila mereka sudah mendaftar, adalah lebih mudah untuk kita merantaikan mereka kepada syarikat yang lebih besar, syarikat yang menjalankan perniagaan yang hampir serupa dan yang boleh menjadi pembekal kepada mereka," katanya kepada media baru-baru ini.

Hafsah berkata, peniaga tidak berdaftar dikelaskan sebagai sektor tidak formal dan menyumbang 31 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, katanya peratusan sektor tidak formal ini perlu diturunkan kepada sekurang-kurangnya 14 peratus bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau turut menekankan bahawa sektor tidak formal di Singapura hanyalah sebanyak 14 peratus daripada KDNK manakala Amerika Syarikat (sembilan peratus).

Menyentuh mengenai Akta Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), Hafsah berkata rang undang-undang mengenainya akan dibentangkan kepada Kabinet pada Januari tahun hadapan.

"Ketika ini kami sedang menggubal versi kedua rang undang-undang berkenaan dengan Akta PKS selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk institusi perbankan dan persatuan," katanya.

Hafsah juga berkata versi ketiga Akta PKS akan disiapkan menjelang akhir tahun ini sebelum dikelilingkan sekali lagi bagi mendapat maklum balas pihak persatuan industri, sektor perbankan, ahli akademik yang berkaitan dengan industri PKS.

Ditanya mengenai kandungan Akta PKS, beliau berkata penyelarasan antara peraturan perniagaan persekutuan, Sabah dan Sarawak adalah antara beberapa perkara yang disentuh dalam rang undang-undang baharu tersebut.

Bagaimanapun, Hafsah menegaskan bahawa pelaksanaan pelarasan undang-undang perniagaan itu akan mengambil masa memandangkan ketika ini perniagaan di Sabah dan Sarawak tertakluk di bawah ordinan yang berbeza daripada yang terdapat dalam Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

"Jadi, kita hendak cari jalan penyelesaian bagaimana kita boleh memastikan PKS, terutama peniaga baharu, boleh kita daftarkan," katanya.-- Bernama


SME Corp, PKS

Artikel Lain