suria

Nippon Paint Malaysia Sasar Pertumbuhan Jualan 15 Peratus Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Pakar cat, Nippon Paint Malaysia, menyasarkan kenaikan sehingga 15 peratus bagi pertumbuhan jualan tahun ini, meskipun persekitaran pasaran mencabar, kata Pengurus Besar Kumpulan, Gladys Goh Kaye Jen.

Beliau berkata, kepelbagaian perniagaan baharu, inovasi produk terkini, serta kesedaran awam yang semakin berkembang mengenai cat, merupakan antara faktor penyumbang kepada pertumbuhan, seiring dengan sasaran jualan kumpulan RM1 bilion menjelang akhir 2017.

"Kami perlu berkembang 10 hingga 15 peratus tahun ke tahun. Bagaimanapun, tahun ini, sentimen pasaran adalah mencabar disebabkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, kami mencatatkan pertumbuhan satu digit yang kukuh pada separuh pertama tahun ini," katanya kepada Bernama.

Pada 2014, syarikat itu merekodkan jualan lebih daripada RM650 juta, dengan hampir 90 peratus adalah daripada kategori cat binaan/struktur, dan selebihnya daripada cat automotif.

Gladys menjangkakan momentum jualan meningkat pada separuh kedua tahun ini, memandangkan pengguna mula menyesuai dengan GST, dan juga sebahagiannya dilonjak oleh permintaan sempena perayaan.

Sementara itu, beliau berkata kumpulan itu menyasar untuk mencapai 50 peratus penguasaan pasaran dalam segmen hiasan tempatan tahun ini berbanding 47 peratus pada 31 Disember 2014.

"Ini akan dicapai melalui tiga strategi teras, iaitu mengembangkan operasi serantau, melaksanakan inovasi penyelesaian salutan menyeluruh bagi setiap permukaan, dan menambah jaringan pengedaran kami dengan sistem seni warna 'Nippon Colour Creations'," katanya.

Nippon Paint, penyedia penyelesaian cat terkemuka Malaysia, menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada pelbagai segmen daripada binaan, lapisan perlindungan, industri, automotif dan marin.

Ia turut menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk pelbagai permukaan, daripada besi hingga kayu, jubin, simen, papan batu, kaca dan plastik.-- Bernama

Nippon Paint, GST, Gladys Goh

Artikel Lain