suria

Perodua Akan Eksport Axia Ke Mauritius, Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mengeksport Perodua Axia baharu ke Mauritius dan Sri Lanka pada suku ketiga tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Aminar Rashid Salleh.

Beliau berkata syarikat itu telah menghentikan pengeluaran model Viva dan merancang untuk meneruskan jualan dengan memasuki pasaran yang sama.

"Kami masih berbincang dengan beberapa pihak, dan berharap pada tahun ini, kami boleh mengeksport model berkenaan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi separuh pertama 2015 Perodua di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah unit yang akan dieksport ke negara berkenaan.

Perodua mengeksport model jenamanya termasuk Myvi dan Viva, ke tujuh negara -- Sri Lanka, United Kingdom, Singapura, Brunei, Mauritius, Fiji dan Nepal.

Jualan kenderaan pada separuh pertama 2015 syarikat itu meningkat 14.8 peratus kepada 108,500 unit daripada 94,500 unit bagi tempoh yang sama tahun lepas, susulan permintaan kukuh untuk Axia.

Aminar Rashid berkata syarikat itu menjual 53,700 unit Axia dari Januari hingga Jun tahun ini, yang menyumbang hampir 50 peratus daripada keseluruhan jualan sebanyak 108,500 unit.

"Berdasarkan analisis dalaman, anggaran penguasaan pasaran kami bagi separuh pertama adalah sebanyak 33.8 peratus berasaskan unjuran jumlah dagangan keseluruhan industri 321,400 kenderaan," katanya.

Beliau berkata memandangkan tempahan Axia dibuka sejak Ogos 2014, Perodua telah menerima 134,000 tempatan, dengan 83,700 unit telah diserahkan dari September 2014 hingga 9 Julai tahun ini.

"Pada Mac tahun ini, wujud permintaan tinggi untuk Axia, dengan 22,000 unit telah didaftarkan, memandangkan pelanggan mahu mendaftar unit mereka sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan," katanya.

Perolehan selepas jualan Perodua meningkat 7.6 peratus pada separuh pertama kepada RM292.6 juta daripada RM271.8 juta tahun lepas.

Pendapatan daripada aksesori dan alat ganti susut kepada RM120.3 juta atau 2.7 peratus daripada RM123.7 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Perodua telah mengeluarkan 116,000 kenderaan dari Januari hingga Jun tahun ini, peningkatan 12 peratus daripada 104,000 kenderaan yang dihasilkan tahun lepas.

Aminar Rashid berkata syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran pendapatan selepas jualan tahun ini, dipacu oleh perniagaan rangka kenderaan dan cat, serta permintaan kukuh untuk model dan promosi.

"Kami melihat potensi yang besar dalam segmen selepas jualan, terutama dalam menambahkan hasil pada masa depan, kami akan meningkatkan lagi perkhidmatan  bagi memenuhi kehendak pelanggan di tahap terbaik," katanya, dengan menambah perniagaan selepas jualan menyumbang 10 peratus kepada perolehan syarikat.

Perodua, Axia

Artikel Lain