suria

Taman Tema Air Gold Coast Resort Melaka Beroperasi Ogos Ini

Dr Alex Tan (belakang,tengah) bergambar kenangan selepas meraikan pelajar kelainan upaya Sekolah Kebangsaan Lesong Batu dan Pondok Darul Muttaqin pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan Hari Raya, Jumaat malam.

MELAKA: Gold Coast Resort Sdn Bhd bakal membuka sebuah taman tema air di tarikan kendaliannya, Gold Coast Resort Melaka pada pertengahan bulan depan.

Pengerusinya Datuk Dr Alex Tan berkata, taman tema di Bukit Katil di sini merupakan usaha naik taraf bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat peranginan berkenaan selain memberi nilai tambah kepada lokasi berkenaan.

Pembangunan fasa pertama taman tema itu kini siap 75 peratus dan merangkumi taman tema kanak-kanak serta 'wave pool' (kolam berombak).

"Pembangunan fasa seterusnya membabitkan lebih banyak permainan termasuk 'tornado', 'sliding pool' (kolam gelongsor) yang dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya menjelang Oktober depan.

"Kita menyediakan pakej taman tema air ini kepada pengunjung pusat peranginan ini dan turut dibuka kepada orang ramai dengan cadangan kadar bayaran kira-kira RM40 seorang," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat malam.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa bersama pelajar kelainan upaya Sekolah Kebangsaan Lesong Batu dan Pondok Darul Muttaqin di pusat peranginan itu di sini.

Pusat peranginan itu dilengkapi 322 bilik dan 840 katil.

Menurut Tan, taman tema berkenaan akan beroperasi sehingga 12 malam setiap hari sebagai usaha menarik kehadiran pengunjung.

Ia akan mengekalkan replika Kapal Samudera sebagai identiti Melaka yang terkenal sebagai pusat pelabuhan pada zaman dahulu.

Beliau juga yakin Gold Coast Resort Melaka dapat menarik kedatangan lebih ramai pengunjung terutama dari China, selaras cadangan pemansuhan visa pelancong China ke negara ini.-- Bernama


Artikel Lain