suria

Ringgit Kembali Stabil

KUALA LUMPUR: Pengumuman penarafan terbaharu oleh agensi antarabangsa, Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran Malaysia kepada stabil, terbukti menyuntik kelegaan kepada pasaran tempatan, sekaligus melenyapkan kebimbangan sebelum ini.

Ringgit dibuka lebih kukuh apabila menokok 385 mata asas atau 0.97 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, dipacu peningkatan permintaan terhadap unit tempatan yang menyusuli pengumuman Fitch berkenaan.

Pada 5 petang, ringgit kekal kukuh pada 3.7480/7530 berbanding dolar AS daripada 3.7740/7770 yang dicatatkan pada 5 petang, Rabu.

Di pasaran ekuiti, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 21.32 mata atau 1.25 peratus kepada 1,727.96 sewaktu ditutup hari ini selepas pasaran memberi reaksi positif terhadap penarafan terbaharu Fitch itu.

Mengulas perkembangan ini, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menyifatkan berita baik ini seharusnya memberi sedikit kelegaan kepada ketidaktentuan pasaran mengenai kemungkinan Fitch menyemak turun unjurannya terhadap Malaysia.

"Kita gembira dengan penarafan Fitch terhadap akaun semasa Malaysia ketika ini yang dikaitkan dengan peningkatan dalam aktiviti pelaburan.

"Ini akan mengukuhkan profil penarafan itu kerana kerajaan dijangka meningkatkan perbelanjaan bagi projek infrastruktur seperti disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menerusi penarafan terbaharunya hari ini, Fitch mengesahkan penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada 'A-' selain menyemak semula unjuran Malaysia kepada stabil daripada negatif.

Menurut agensi penarafan itu, ia menilai kemajuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta langkah penyelarasan subsidi bahan api sebagai menyokong kewangan fiskal.

Defisit itu juga diunjurkan terus mengecil tahun ini walaupun harga minyak rendah.

Ia juga menyifatkan kedudukan pasaran modal tempatan sebagai turut menyokong keperluan pembiayaan domestik negara.

Artikel Lain