Eversendai Yakin Capai RM2 Bilion Hasil Tahun Kewangan 2017

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 5:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Eversendai Corporation Bhd yakin dapat menggandakan hasil pendapatannya dan mencecah paras RM2 bilion menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri A.K. Nathan berkata, kemungkinan sasaran itu boleh dicapai setahun lebih awal iaitu dalam tahun kewangan 2016.

"Perniagaan teras dan baharu baru seperti minyak dan gas yang telah dimulakan dalam beberapa tahun lepas akan mendatangkan keuntungan.

"Kami telah menempatkan diri kami dan dengan peluang yang terletak di hadapan, saya yakin kami akan dapat mencapai sasaran RM2.0 bilion," katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) di sini, Isnin.

Eversendai meraih pendapatan berjumlah RM1.0 bilion dalam tahun kewangan 2014.

Prospek perniagaan di Asia Barat, India, Malaysia dan Asia Tenggara masih lagi banyak.

Beliau berkata, 90 peratus daripada operasi kumpulan itu kini berada di luar negara, dan ini boleh menambah satu lagi kelebihan kepada keuntungan tersebut.

"Ada beberapa kontrak kami yang ditambat kepada dolar AS. Apabila kami menghantar balik keuntungan, kami pasti mempunyai angka yang lebih baik untuk bercakap tentang itu," kata Nathan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Eversendai berkata ia mempunyai kontrak bercagar baharu bernilai RM250 juta melalui syarikat-syarikat subsidiarinya di Malaysia, India dan Emiriah Arab Bersatu bagi melepasi paras RM1 bilion untuk projek-projek baharu yang diperolehi pada separuh pertama 2015.

Nathan ketika bercakap mengenai sektor minyak dan gas yang disertai oleh Eversendai pada dua tahun lepas memberitahu kumpulan itu telah membida untuk  kontrak bernilai lebih RM11 bilion di Malaysia dan Asia Barat.

Di pasaran tempatan, skop kerja Eversendai di Loji Penjanaan Bersama Pengerang di Kompleks Rapid di Pengerang, Johor dijangka siap pada Disember 2016.-- Bernama




Tags / Kata Kunci: Eversendai , A.K.Nathan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan