suria

Takaful Ikhlas Sasar Sumbangan Kasar RM1 Bln Bagi 2016

KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Bhd, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, optimis dapat mengumpul sumbangan kasar RM1 bilion pada 2016 menerusi pengenalan produk baharunya, kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Ab Latiff Abu Bakar.

Beliau berkata produk itu menangani keperluan bagi skim perlindungan berbanding simpanan.

"Insurans bukan satu kemahuan tapi keperluan. Cuma soalnya ialah kemampuan memiliki.

"Produk baharu ini, Secure Link, bermula dengan pakej minimum RM80 sebulan ke atas (tanpa maksimum)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bersempena Ramadan kepada 50 anak yatim, di sini.

Ab Latiff berkata bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, syarikat memperoleh sumbangan kasar lebih RM800 juta, didorong oleh kedua-dua produk am dan keluarga.

Ditanya mengenai rancangan syarikat untuk menembusi pasaran Eropah, beliau berkata pada masa ini Takaful Ikhlas akan menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan dalam pasaran tempatan.

Kumpulan itu mempunyai subsidiari, Malaysian Re (Dubai) Ltd di Dubai.

"Sama ada kami akan ke sana, Asia Pasifik atau Asia Tenggara, bergantung pada hala tuju kumpulan," katanya, menambah Takaful Ikhlas merancang untuk meneroka ke seberang laut pada 2020.

Ab Latiff juga berkata syarikat berharap untuk mengurangkan campuran porfolio motor kepada 60 peratus daripada 70 peratus sekarang.

Mengenai kemungkinan disenaraikan di Bursa Malaysia, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kumpulan dan hala tuju masa depan syarikat.

Kumpulan akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Ogos.

Takaful Ikhlas

Artikel Lain