suria

Salcon Cari Pelaburan Yang Baik

PETALING JAYA: Salcon Bhd, yang akan membawa pulang simpanan tunai sebanyak RM310 juta daripada pemberhentian pelaburannya di China, sedang mencari peluang pelaburan yang lebih baik.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Eddy Leong Kok Wah berkata, syarikat itu kini mempunyai wang tunai berjumlah RM270 juta, selepas menyelesaikan penjualan lapan daripada sembilan konsesi airnya di China.

"Penjualan konsesi terakhir di Shandong perlu diselesaikan menjelang suku ketiga. Kami akan menerima wang tunai tambahan sebanyak RM40 juta lagi.

"Kami menerima pengalaman dan keuntungan yang menarik daripada pelaburan di  China yang kami buat sejak 2004 lagi," katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) di sini, Khamis.

Mengenai masa depan, bahagian kejuruteraan dan pembinaan syarikat itu tidak  memerlukan modal baharu dan ia sedang mencari pelaburan lain.

Perniagaan teras Salcon adalah kejuruteraan dan pembinaan loji rawatan sisa air serta pembangunan hartanah dan teknologi perkhidmatan.

Syarikat itu boleh melaburkan wang tersebut ke dalam sektor yang sedia ada atau ke dalam usaha sama baharu, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Tempahan dalam tangan berjumlah RM1.1 bilion daripada projek Langat 2 akan membolehkan syarikat beroperasi dengan selesa dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

"Kami memulakan kerja (projek Langat 2) pada tahun lepas dan ia bergerak mengikut perancangan walaupun ada beberapa isu kecil antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Tetapi ini adalah kontrak kerajaan persekutuan. Kontrak dalam tangan kini berjumlah RM1.1 bilion dalam perolehan kontrak semasa, dengan bahagian yang belum dibilkan sebanyak RM700 juta," katanya.

Penglibatan sulung Salcon ke dalam hartanah di Selayang, Selangor, dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM160 juta, dijangka akan memulakan sumbangan pada tahun kewangan 2017.

Salcon juga telah menceburi bidang teknologi melalui Volksbahn Technologies Sdn Bhd, yang memperolehi konsesi selama 15 tahun untuk memasang dan menyenggara  kabel gentian optik sepanjang 108 kilometer di laluan monorel dan sistem transit ringan dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd.

"Kami juga sedang membida sejumlah tender bernilai RM2 bilion, di mana RM1.25 bilion adalah untuk projek-projek tempatan dan RM750 juta lagi di luar negara.

"Mereka terdiri daripada lapan projek tempatan dan lima projek luar negara, kebanyakkan di Sri Lanka," katanya sambil menambah, syarikat itu menjangkakan kadar kejayaan sebanyak 30-40 peratus dalam bidaannya.

"Teras utama syarikat masih air dan sisa air tetapi perniagaan ini bersifat kitaran, itulah sebabnya kita mungkin melabur di tempat lain," katanya.

Salcon, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain