suria

Heng Huat Labur RM35 Juta Bangunkan Kemudahan EFB

GEORGE TOWN: Heng Huat Resources Group Bhd, pengeluar bersepadu produk biojisim kelapa sawit, akan melabur RM35 juta untuk membangunkan kemudahan pengeluaran serat tandan kosong (EFB) kelapa sawit baharu di Gua Musang, Kelantan.

Pengasas bersama dan Pengarah Urusannya, H'ng Choon Seng, berkata langkah tersebut akan membolehkan kumpulan itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari China dan memasuki pasaran eksport baharu iaitu Jepun, Korea Selatan dan Australia.

"Selama ini, eksport serat EFB kelapa sawit kami meningkat secara berterusan ke China. Pengembangan ini tepat pada masanya berikutan jangkaan permintaan yang kukuh dan kadar penggunaan kira-kira 90 peratus dalam kilang sedia ada.

"Kemudahan baharu itu dijangka beroperasi pada suku kedua tahun depan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kumpulan itu di sini, Khamis.

Ketika ini, Heng Huat mengendalikan dua buah kemudahan pengeluaran serat  EFB kelapa sawit di Seberang Perai di sini.

H'ng berkata susulan pengembangan itu, jumlah barisan pengeluaran serat EFB kelapa sawit kumpulan itu akan meningkat kepada 27 barisan daripada 20 barisan, manakala kapasiti pengeluaran tahunan dijangka naik kepada lebih 135,000 tan metrik (MT) berbanding 100,500 MT.

Daripada jumlah pelaburan RM35 juta, RM11 juta untuk pembelian tanah dan pembinaan bangunan kilang, RM12 juta untuk jentera pengeluaran baharu dan RM2 juta untuk menyokong kenderaan dan peralatan, katanya.

"Baki RM10 juta akan digunakan untuk stesen janakuasa penjanaan bersama biojisim, membolehkan kumpulan itu mengurangkan kos operasinya melalui kecekapan tenaga yang lebih baik dan penggunaan semula bahan-bahan buangan pengeluaran," katanya.

Pada masa ini, Heng Huat mengeksport lebih 90 peratus daripada serat EFB kelapa sawitnya ke China, yang digunakan untuk pengeluaran tilam, geotekstil, kertas pulpa, landskap, hortikultur dan lain-lain.

Pada EGM, Heng Huat memperoleh kelulusan pemegang saham untuk memindahkan status penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia daripada Pasaran ACE, dan langkah itu dijangka selesai pada akhir tahun. 

Heng Huat, EFB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain