suria

"Projek 1MDB Di TRX Tiada Kaitan Dengan Saya" - Peter Sondakh

Peter Sondakh

JAKARTA: Jutawan Indonesia, Tan Sri Peter Sondakh berkata, syarikatnya tiada kaitan dan tidak berhasrat untuk melabur di Tun Razak Exchange (TRX) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh banyak pihak sebelum ini.

Menurutnya, Kumpulan Rajawali yang diketuainya hanyalah rakan kongsi Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dalam sebuah projek hotel mewah di Langkawi.

"Tidak...saya tidak berminat dalam projek TRX," kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Rajawali itu dalam satu temuramah eksklusif dengan StarBiz.

Menurutnya, Rajawali telah mempunyai beberapa projek hartanah di Malaysia dan potfolio hartanah mereka adalah padat dan dana yang diperuntukkan telah digunapakai sepenuhnya.

"Kami sudah kehabisan dana untuk projek hartanah di Malaysia...mungkin untuk projek lain ada kemungkinan tapi tidak hartanah," ujarnya lagi.

Sondakh berkata demikian sebagai reaksi kepada komentar dan cakap-cakap yang mengatakan yang Kumpulan Rajawali turut terlibat dalam projek pelaburan di TRX yang melibatkan 1MDB.

Kumpulan Rajawali menjadi subjek kepada spekulasi itu setelah mereka mengumumkan urusniaga korporat melibatkan Felda Global Ventures Bhd (FGV) bernilai RM2.8 bilion minggu lepas.

Dalam urusniaga itu, FGV akan menguasai 37% pegangan dalam PT Eagle High Plantations yang dimiliki oleh Kumpulan Rajawali.

Urusniaga itu telah menerima pelbagai kritikan antaranya adalah kerana premium yang mereka bayar untuk 37% pegangan itu dikatakan adalah terlalu tinggi iaitu melebihi 70% daripada nilai pasaran.

Namun Sondakh menepis pandangan tersebut sebagai terlalu tinggi kerana untuk menguasai pegangan yang besar dalam syarikat perladangan di Indonesia bukanlah mudah.

Taikun itu turut menegaskan bahawa semua urusniaganya di Malaysia tiada satu pun ada kaitan dengan hubungan baiknya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ya memang benar saya mengenali Datuk Seri Najib...tapi apa salahnya saya mengenali beliau. Sebagai usahawan, saya menghadiri banyak misi dagang antara negara dan oleh hal yang demikian saya berpeluang untuk bertemu dengan begitu ramai pemimpin negara luar.

"Tapi bukan Datuk Seri Najib sahaja yang saya kenal. Saya juga mengenali Presiden Bill Clinton, Perdana Menteri Britain John Major dan manusia terkaya di dunia Warren Buffett," ujarnya lagi.

Jutawan berusia 63 tahun itu juga adalah pemilik Westin Langkawi Resort and Spa yang dibelinya pada tahun 2005 dan Sheraton Impirial Hotel di Kuala Lumpur yang dibelinya daripada sebuah bank tempatan.

Mengenai pengterlibatannya dalam projek di Langkawi dengan MoF Inc, Sondakh berkata, Kumpulan Rajawali menerima pelawaan untuk terlibat dalam projek itu berasaskan kejayaan mereka membina dan membangunkan Hotel St Regis di Bali.

Pusat Konvension Antarabangsa Langkawi dan Hotel St Regis Langkawi dibina dengan kerjasama Kumpulan Rajawali dan MoF Inc. 


Peter Sondakh, 1MDB, TRX

Artikel Lain