7-Eleven Peruntuk RM80 Juta Untuk Bina, Baik Pulih Kedai Tahun Ini

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 4:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd merancang untuk membelanjakan RM80 juta hingga RM90 juta untuk membuka 200 kedai 7-Eleven dan membaik pulih 200 kedai di seluruh negara tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Brown.

Beliau berkata, syarikat itu mahu mewujudkan persekitaran yang lebih selesa  untuk menarik lebih ramai pelanggan.

"Kami juga mahu menawarkan lebih banyak makanan segar, menggunakan lampu diod pemancar cahaya di kedai-kedai kami yang jimat tenaga dan juga mengadakan promosi secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Selasa.

Beliau berkata, 30 hingga 35 peratus daripada kedai baharu itu akan terletak  di Lembah Klang.

Brown berkata, mulai 2014 hingga 2016, syarikat menjangka dapat membuka 600 kedai baharu.

Tahun lepas, syarikat membuka 188 kedai baharu, katanya.

Syarikat itu juga telah memperuntukkan RM66 juta untuk projek teknologi maklumat (IT) dan RM40 juta lagi untuk kerja-kerja pembinaan untuk membangunkan kemudahan pusat penghantaran di Bukit Jelutong, Shah Alam, yang  sedang dalam proses penilaian, katanya.

"Kami sedang memuktamadkan projek IT kami yang dimulakan awal tahun lepas dan akan siap tahun ini.

"Syarikat telah membelanjakan RM20 juta tahun lepas, yang digunakan untuk sistem pematuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) manakala fasa kedua kini digunakan untuk menambah baik sistem maklumat runcit kami seperti menyusun data, proses pesanan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata syarikat itu, yang menguasai 80 peratus bahagian pasaran, menyasar untuk kekal sebagai peserta kukuh dalam pasaran kedai serbaneka dan kini dalam rundingan dengan pelbagai peserta perkhidmatan kurier untuk menggunakan rangkaiannya sebagai tempat penghantaran.

"Setelah muktamad kelak, projek perintis itu dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini di kedai-kedai terpilih," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mengenai masa hadapan, Brown berharap pasaran runcit akan mendapatkan semula momentumnya dan menarik pelanggan untuk berbelanja berikutan salah faham terhadap pelaksanaan GST pada April.

"Ini mungkin mengambil masa kira-kira tiga hingga sembilan bulan, tetapi kita (dalam pasaran runcit) berharap dapat berlaku lebih awal kerana ia menjejaskan kami apabila pelanggan berfikiran setiap pembelian adalah tambahan sebanyak enam peratus.

"Bukan itu sebenarnya kerana beberapa barangan hanya mengalami pelarasan  tambahan dua hingga empat peratus," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: 7-Eleven , Gary Brown

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan