suria

KPC Labur RM3 Bilion Untuk Terminal Air Dalam Baharu

Soam Heng Choon

KUALA LUMPUR: Kuantan Port Consortium (KPC) Sdn Bhd, syarikat milik bersama IJM Corporation Bhd, merancang melabur RM3 bilion untuk membangunkan terminal air dalam baharu di Kuantan, Pahang.

Ini berikutan perjanjian penswastaan baharu yang ditandatangani di antara KPC, kerajaan Malaysia dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Kuantan (PBPK) untuk konsesi pelabuhan itu selama 60 tahun dengan PBPK 30 tahun bersyarat selepas memenuhi terma pembangunan tertentu, kata IJM dalam satu kenyataan.

Di bawah perjanjian penswastaan itu, KPC akan mengurus, mengendali dan membangunkan Pelabuhan Kuantan sedia ada dan terminal air dalam selama 30 tahun sehingga 2045 dan selepas memenuhi pembangunan fasa dua terminal baharu itu pada Disember 2039, untuk 30 tahun lagi sehingga 2075.

Terminal air dalam itu terletak bersebelahan Pelabuhan Kuantan sedia ada dan mampu menampung kapal pengangkut pukal dan kontena sehingga 150,000 berat tanpa muatan (DWT), dijangka memulakan operasi pada 2017.

Pelabuhan Kuantan kini beroperasi hampir penuh kapasiti dengan 23 juta  muatan berat tan (fwt) dicatat pada tahun kewangan 2015, akan menyaksikan volumnya meningkat dua kali ganda kepada 52 juta fwt setahun sebaik terminal air dalam itu siap sepenuhnya.

Kerajaan melabur kira-kira RM1 bilion membina pemecah ombak baharu 4.63 kilometer di pelabuhan berkenaan, yang kini dalan pembinaan di samping menaik taraf infrastruktur luaran untuk menyokong pembesaran pelabuhan itu.

Pembinaan terminal air dalam itu yang akan dibuat dalam dua fasa, akan melibatkan pengorekan laut, kerja penambakan, pembinaan dermaga baharu, bangunan dan kemudahan operasi serta kelengkapan dan kejenteraan untuk pengendalian pelabuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Soam Heng Choon berkata, pembesaran Pelabuhan Kuantan dijangka merangsang transformasi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan kedudukan Kuantan sebagai satu daripada gerbang pelaburan utama ke Asean dan Asia Pasifik.

"Kami menjangka respons yang baik daripada pelaburan langsung asing China ke ECER dan Pelabuhan Kuantan dalam kedudukan baik untuk merebut pelbagai peluang berikutan lonjakan pelaburan dan volum dagangan daripada pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP)," tambah Soam.

MCKIP dan MCKIP II, di kawasan seluas 880 hektar tanah industri dan komersil, terletak berhampiran Pelabuhan Kuantan dan menyasar untuk mempromosi pertumbuhan perdagangan dua hala Malaysia dengan China.

KPC dimiliki 60:40 oleh IJM dan Beibu Gulf Holding (Hong Kong) Co Ltd, dengan kerajaan Malaysia mempunyai saham hak khas. -- Bernama



KPC, terminal air dalam, Kuantan

Artikel Lain