suria

Brahim Akan Kurangkan Kebergantungan Perolehan Katering Penerbangan

KUALA LUMPUR: Brahim's Holdings Bhd akan mengurangkan kebergantungan perolehannya daripada perniagaan katering syarikat penerbangan  sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding lebih 90 peratus pada masa ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, syarikat itu melaksanakan langkah proaktif bagi memperoleh perniagaan katering bukan untuk syarikat penerbangan susulan termeterainya perjanjian baharu dengan Malaysia Airlines Bhd (MAS).

"Perjanjian itu membenarkan kami mendapatkan perniagaan katering bukan untuk syarikat penerbangan. Ini tidak dibenarkan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Selasa.

Ibrahim berkata, baru-baru ini syarikat itu memeterai kontrak katering bukan dalam penerbangan, iaitu menyediakan katering kepada bilik menunggu dan istirahat Emirates di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan kampus Kolej Mahsa.

Brahim juga sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi usaha mengembangkan perniagaan katering bukan untuk syarikat penerbangan, termasuk memperoleh rantaian perniagaan restoran.

Mengenai perniagaaan katering dalam penerbangan, Ibrahim berkata baru-baru ini syarikat itu mula menyediakan makanan halal dalam penerbangan harian kepada British Airways bagi tempoh kontrak lima tahun.

Beliau berkata Brahim's juga akan menyediakan katering dalam penerbangan harian kepada All Nippon Airways mulai September bagi tempoh kontrak tiga tahun, dengan opsyen lanjutan sehingga tiga tahun lagi.

Katanya, syarikat itu pada masa ini memberi perkhidmatan kepada 37 syarikat penerbangan, termasuk kontrak baharu, dengan MAS menjadi pelanggan terbesarnya.

Mengenai perjanjian baharu dengan MAS, beliau berkata syarikat menjangkakan sumbangan perolehan dari syarikat penerbangan negara akan berkurang secara ketara kepada RM200 juta berbanding RM260 juta setahun (mengikut perjanjian lama), disebabkan diskaun sehingga 25 peratus di bawah perjanjian baharu.

Bagaimanapun, beliau yakin syarikat akan kembali mencatat keuntungan tahun ini selepas merekodkan kerugian sebelum cukai RM39 juta tahun lepas, pertama kali dalam sejarah syarikat tersebut.

Beliau berkata kerugian yang ditanggung pada tahun sebelum ini adalah susulan pemeteraian perjanjian penyelesaian dengan MAS yang menyebabkannya rugi RM74 juta daripada hasil pendapatan, termasuk jumlah rebat produktiviti.-- Bernama

Brahim, Ibrahim Ahmad Badawi

Artikel Lain