suria

Lenovo Kongsi Transformasi, Sasar Tingkat Pasaran

KUALA LUMPUR: Peneraju teknologi global, Lenovo, pada Rabu berkongsi transformasinya menerusi model perniagaan baharu serta strategi syarikat itu untuk 2015 dengan rakan kongsinya di Malaysia.

Langkah itu adalah sebahagian daripada perubahan berterusan membabitkan keseluruhan aspek peranti dan ekosistem berkaitan yang memberi penekanan reka bentuk berasaskan insan.

Ini merangkumi aksesori boleh dipakai, telefon pintar, tablet, komputer peribadi, perisian serta perkhidmatan pengkomputeran awan.

Lenovo dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia akan terus melabur di Malaysia untuk menjadi peneraju dalam semua segmen dengan pelaburan utamanya melibatkan peningkatan geografi dan saluran, mengekalkan perhubungan dengan rakan kongsi, kewujudan runcit lebih ketara, pembinaan infrastruktur dan sumber serta memacu lebih banyak inovasi.

Malah, dalam empat bulan pertama tahun ini, syarikat itu mencatatkan apa disifatkannya sebagai 'pertumbuhan hiper' di rantau ini selain meletakkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pengkomputeran mudah alih masa kini dengan perkongsian pasaran sebanyak 28 peratus.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Bagi Rantau Asia Tenggara, Dr Harry Yang, berkata syarikat itu mencatatkan momentum kukuh di rantau ini dan menyifatkan Malaysia berperanan penting sebagai pemacu utama pertumbuhan.

"Asia Tenggara adalah gabungan pasaran yang matang dan mempunyai minat ketara untuk teknologi tekini. Ia turut memiliki pasaran pesat membangun dengan kadar penembusan teknologi yang memberikan kami peluang untuk meningkatkan perkongsian pasaran secepat mungkin," katanya.

Di peringkat global, dalam persekitaran suku keempat berakhir 31 Mac, 2015 yang lebih perlahan, terbukti memberi kesan tukaran asing ketara yang menyaksikan perolehan pendapatan berjumlah US$11.3 bilion - naik 21 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun.

Bagi tahun akan datang, Lenovo kekal optimis bahawa pelbagai cabang industri Malaysia seperti automotif, kesihatan dan logistik akan terus cemerlang yang turut memberi kesempatan kepada pemimpin teknologi memaparkan kaedah penyelesaian teknologi maklumat serba inovatif.

Lenovo

Artikel Lain