suria

Honda Malaysia Keluar Kenyataan Berjaga-Jaga Ke Atas 46,710 Unit Kereta

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia pada Rabu mengeluarkan kenyataan berjaga-jaga ke atas 46,710 unit kenderaan Honda, termasuk 26,186 City (model tahun 2008-2009), Civic (2007-2009), CR-V (2007-2008) dan Jazz (2007  and  2009).

Dalam satu kenyataan Honda Malaysia berkata unit terbabit terjejas disebabkan inflator atau pengepam beg udara penumpang hadapan.

Selain itu, 20,524 unit Accord (2003-2007) pula terjejas oleh pengepam beg udara bahagian hadapan pemandu.

"Makluman ini merupakan langkah berjaga-jaga, dan Honda akan menggantikan pengepam yang baharu untuk semua model terjejas," kata Honda Malaysia, sambil menambah bahawa model jualan semasa tidak terjejas.

Honda Malaysia akan memaklumkan kepada semua pelanggan yang terjejas menerusi surat pemberitahuan termasuk butiran terkini produk, dan pelanggan yang menerima surat dinasihatkan supaya menghantar kenderaan mereka ke wakil penjual Honda terdekat untuk pemeriksaan.

Penggantian akan dilakukan sebaik sahaja alat berkenaan diterima, dan kos penggantian dan buruh akan ditanggung oleh Honda Malaysia, kata pengeluar kereta Jepun itu.

Pemilik kenderaan juga boleh menyemak status produk kenderaan mereka dengan menghubungi Talian Bebas Tol Honda 1-800-88-2020 atau mengunjungi peniaga Honda yang sah atau melayari www.honda.com.my.

"Honda Malaysia menggesa pemilik kenderaan Honda yang terjejas dengan  produk pengepam beg udara itu supaya membawa kenderaan masing-masing untuk diperiksa dan menggantikan bahagian yang terjejas secepat mungkin," katanya.


Honda Malaysia

Artikel Lain