suria

Iskandar Malaysia Akan Lancar Pelan Pembangunan Komprehensif Kedua

NUSAJAYA: Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDP) kedua dijangka akan dilancarkan sama ada pada akhir suku kedua atau awal suku ketiga, tahun ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia, Datuk Ismail Ibrahim, berkata CDP kedua itu adalah hasil kajian semula ke atas pelan pertama yang dilancarkan pada 2006.

Pelan kedua itu, katanya, telah dikemukakan kepada pelbagai pihak berkuasa, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Kami mengemukakannya di peringkat negeri pada awal tahun ini yang dibuat menerusi Jawatankuasa Negeri. Apa yang kami perlu lakukan sekarang adalah membuat persiapan bagi pelancarannya.

"Kami akan memperoleh tarikhnya daripada Menteri Besar, iaitu sama ada pada akhir suku kedua tahun ini atau awal suku ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas pelancaran Sidang Kemuncak 'Elevating Cross-Border Opportunities in ASEAN and Beyond,' di sini, Selasa.

CDP kedua itu yang menumpukan aspek pengurusan sosial dan alam sekitar, dianggap penting kepada pihak-pihak berkepentingan kerana ia memberi gambaran mengenai prospek serta peluang yang ada di Iskandar Malaysia.

Selain itu, Ismail turut berkongsi kejayaan Iskandar Malaysia memperolehi pelaburan baharu bernilai RM7.8 bilion bagi tempoh suku pertama tahun ini yang mana 64 peratus adalah domestik dan selebihnya asing.

Merujuk insentif yang diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Singapura yang melabur di Iskandar Malaysia, Ismail berkata ia akan bergantung kepada jenis pelaburan mereka.

"Malah pelaburan itu, tidak kiralah sama ada ianya sektor perkhidmatan atau perusahaan, perlu menepati syarat-syarat yang kita tetapkan.

"Ia juga haruslan mesra alam, intensif modal dan kurang menggunakan buruh," katanya.

Iskandar Malaysia

Artikel Lain