suria

Tune Ins Akan Muktamadkan Perjanjian Pengambilalihan Sebelum Ogos

KUALA LUMPUR: Tune Ins Holdings Bhd dijangka memuktamadkan pengambilalihan syarikat insurans Indonesia, PT Asuransi Staco Mandiri dengan harga RM35.4 juta sebelum Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif, Junior Cho berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi syarikat insurans tersebut untuk meneroka pasaran Asean.

"Kami sedang menunggu kelulusan pengawal selia daripada kedua-dua negara," kata Cho, sambil menambah bahawa syarikat itu juga sedang aktif mencari rakan kongsi dari kalangan syarikat penerbangan bagi menawarkan lebih banyak produk insuransnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Jumaat.

Syarikat itu juga sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan Asean termasuk syarikat penerbangan tambah rendah dan premium di Timur Tengah serta Afrika Utara untuk menyediakan insurans perjalanan bagi penumpang mereka.

Tune Insurans memperoleh kepentingan ekuiti sebanyak 49 peratus di dalam Osotspa Insurans Public Co Ltd, Thailand, pengambilalihan pertamanya di rantau ini.

Ia juga bekerjasama dengan Malayan Insurance Co Inc untuk menawarkan perlindungan perjalanan kepada penumpang syarikat penerbangan tambang rendah, Cebu Pacific Air.

Beliau juga memberitahu, jumlah penumpang agak berkurangan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini tetapi beliau yakin, pasaran akan pulih sekitar Mac.

"Dari segi pendapatan, ia meningkat sebanyak 17 peratus (dalam Mac), tetapi itu tidak untuk menyatakan bahawa momentum ini akan terus kekal dalam suku ketiga dan keempat. Kami positif untuk terus mencatatkan pertumbuhan," katanya.

Beliau ketika bercakap mengenai jualan dan pendapatan tahun ini, memberitahu  syarikat itu berhasrat untuk memantapkan segmen perjalanan pada kadar dua angka.

"Sumbangan itu akan datang dari pasaran Malaysia dan masa depan, insurans digital kami akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini," katanya.-- Bernama


Artikel Lain