suria

Iskandar Waterfront City Labur RM65 Juta Bangun Semula Pangsapuri Terbengkalai

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga, kiri) melawat tapak perumahan terbengkalai selepas merasmikan Projek Pemulihan Perumahan Terbengkalai Taman Bayu Tebrau di Permas Jaya, Jumaat. Belau diiringi Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd Tan Sri Lim Kang Hoo (dua kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong (kiri).

JOHOR BARU: Iskandar Waterfront City Bhd (IWCB) bakal melabur sebanyak RM65 juta bagi membangunkan semula serta mengubah suai projek pangsapuri Taman Bayu Tebrau yang terbengkalai lebih 10 tahun lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dengan kos itu, IWCB akan menambah baik seni bina bangunan termasuk membaik pulih dan mengganti semula kerosakan bangunan.

"Projek itu yang telah dimulakan bakal melibatkan sebanyak 460 unit pangsapuri dibaik pulih dan ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2017 nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pemuliharaan projek terbengkalai di Taman Bayu Tebrau, Permas Jaya, di sini, Jumaat.

Mohamed Khaled berkata, dengan usaha syarikat itu, diharapkan dapat menaik taraf serta menyediakan suasana hidup yang lebih berkualiti kepada penduduk.

"Selepas siap, pembeli boleh mendapatkan kunci rumah dengan membuat bayaran tambahan sebanyak 20 peratus daripada harga asal, contohnya harga asal RM100,000 menjadi RM120,000 sahaja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi IWCB Datuk Ayub Mion berkata kegagalan pemaju projek itu telah menyebabkan 404 pembeli kecewa kerana tidak dapat memiliki rumah mereka.

"Seramai 36 buah keluarga telah berpindah secara haram ke rumah berkenaan berikutan tidak mampu membayar sewa yang tinggi selain membayar hutang pinjaman di bank," katanya.

Selain membina semula projek terbengkalai itu, pihaknya akan turut membina jalan yang akan menghubungkan taman itu ke sekolah berdekatan.

Projek Pangsapuri Taman Bayu Tebrau yang mula dibina pada tahun 1999 dan dijadualkan siap pada Mac 2004 itu, telah terbengkalai secara berperingkat Oktober 2006 dan terhenti sepenuhnya pada 2011 dengan 70 peratus telah siap.-- Bernama




Artikel Lain