suria

Malindo Tawar Khidmat WiFi Dalam Pesawat

Tion Lai (dua dari kanan) melancarkan beberapa produk baharu Malindo Air, masing-masing Malindo WiFi, Malindo Mobile dan MalindoMag, turut hadir Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kanan) dan CEO Malindo Air, Chandran Ramamuthy (dua dari kiri) di KLIA2, Khamis.

SEPANG: Malindo Air menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia menawarkan jaringan komunikasi dalam pesawat menerusi perkhidmatan terbaharunya, Malindo WiFi dan Malindo Mobile, yang dilancarkan, Khamis.

Perkhidmatan dalam pesawat Boeing 737-900ER syarikat penerbangan hibrid berkenaan, membolehkan penumpang melayari kemudahan seperti laman web, emel, mengemas kini akaun media sosial masing-masing, menghantar pesanan teks serta menerima panggilan telefon.

"Pesawat dilengkapi kemudahan WiFi itu mendatangkan lebih daripada sekadar faedah operasi dan kami sememangnya berharap dapat menaik taraf sistem pengesanan lokasi kepada sistem pengesanan masa sebenar pada masa depan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran perkhidmatan itu beserta majalah dalam pesawat MalindoMag yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, di klia2, di sini, Khamis.

Menurutnya, perkhidmatan Malindo WiFi dan Malindo Mobile bagi penerbangan kerap seperti Kota Kinabalu, Delhi dan Mumbai, dijangka dapat diperluaskan kepada pesawat lain menjelang akhir tahun ini.

Penggunaan perkhidmatan itu bagi tempoh sejam hingga 12 jam dan ditawarkan pada harga US$6.95 hingga US$21.95, boleh dibeli dalam penerbangan.

Sementara itu, Liow yang maklum kepentingan akses internet bukan lagi sekadar lambang kemewahan, turut menggesa penggiat penerbangan komersial untuk terus meningkatkan perkhidmatan dalam penerbangan masing-masing.-- Bernama




Malindo Air, wifi, Liow Tiong Lai

Artikel Lain