suria

Malaysia, GCC Akan Sambung Rundingan FTA

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan meneruskan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, rundingan sebelum ini mengenai FTA telah terhenti disebabkan oleh pergolakan politik di rantau Arab.

"Lewat tahun ini, saya harap ia (rundingan itu) akan bermula semula. Saya merancang melawat ibu pejabat GCC di Riyadh bagi memeriksa status perjanjian itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Arab Malaysia di sini, Khamis.

Rundingan FTA Malaysia-GCC bermula pada 2011 susulan permeteraian perjanjian rangka kerja untuk meningkatkan ekonomi, komersial, pelaburan dan kerjasama teknikal antara kedua-dua pihak.

Mustapa berkata, pasaran Arab adalah destinasi penting bagi Malaysia dan pasaran itu telah berkembang tiga kali ganda dalam dekad lepas kepada RM61.94 bilion tahun lalu daripada RM27.12 bilion pada 2004.

Tahun lepas, beliau berkata perdagangan Malaysia dengan negara-negara liga Arab berkembang 8.5 peratus dipacu oleh pengembangan import.

Beliau berkata, import dari negara-negara liga Arab bernilai RM37.39 bilion manakala eksport berjumlah RM24.54 bilion dengan eksport utama termasuk produk petroleum, minyak sawit dan produk elektronik dan elektrik.

Bagaimanapun, beliau berkata perdagangan Malaysia dengan dunia Arab turun 19.8 peratus dalam suku pertama tahun ini disebabkan pergolakan di Timur Tengah dan Utara Afrika.

Beliau berkata, ketika ASEAN menjadi lebih bersepadu sebagai satu komuniti ekonomi tunggal, Malaysia telah bersedia untuk menarik lebih ramai ahli perniagaan asing termasuk dari negara-negara Arab, menjalankan perniagaan di negara ini dan seterusnya menjalin hubungan yang lebih rapat antara dunia Arab dan Malaysia.

Mengenai prestasi perdagangan, Mustapa membayangkan prestasi perdagangan empat bulan pertama Malaysia terjejas akibat daripada penurunan harga komoditi dan kelembapan pembangunan ekonomi di rakan-rakan dagang utama negara.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi sektor pembuatan terus menggalakkan manakala sektor elektrik dan elektronik mencatatkan prestasi sederhana.

Terdahulu, Mustapa juga menyaksikan permeteraian Memorandum Perjanjian antara MIT Services Sdn Bhd dan Halliburton Energy Services Inc bagi rangka kerja pembangunan bersama hartanah intelektual dan teknologi baharu bagi perkakasan dalam industri minyak.

Perjanjian itu juga bagi sewaan peralatan Intelligent Circulation While Drilling (iCWD) yang dibangunkan oleh MIT di Malaysia, yang pada peringkat awalnya bagi operasi Halliburton di Amerika Syarikat sebelum diperluaskan ke negara-negara lain di dunia.-- Bernama

Artikel Lain