suria

Ascott Cecah Sasaran 40,000 Pangsapuri Melalui Pengembangan Agresif

SINGAPURA: Anak syarikat CapitaLand Ltd, The Ascott Ltd yang terlibat dalam perniagaan kediaman berservis telah berjaya mendapatkan pelanggan untuk 40,000 unit pangsapurinya di seluruh dunia, lebih awal daripada yang disasarkan iaitu pada hujung 2015.

Ascott dalam satu kenyataan, berkata ia telah mendapat 10 kontrak baharu di  Nantong, Xiamen, Hangzhou, Tianjin, Wuxi dan Nanjing di China, Jakarta di Indonesia, Bangkok dan Sri Racha di Thailand serta Muscat di Oman.

Ini telah meningkatkan portfolio Ascott dengan lebih 2,000 unit kepada lebih daripada 41,000 unit dalam 270 hartanah yang terletak di 91 bandar di 25 buah negara, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemilik dan operator kediaman berservis yang terbesar di dunia antarabangsa.

"Tahun ini, Ascott telah menambah 18 hartanah di China, Indonesia, Malaysia, Thailand, Turki, Vietnam, Oman dan UAE.

"Kami juga membuka lapan hartanah dengan 15 lagi bakal dibuka di China, India, Indonesia, Korea, Malaysia, Filipina, Oman dan Arab Saudi dalam tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Lee Chee Koon.

Di China, Ascott telah memasuki sebuah bandar baru, Nantong, dengan kontrak pengurusan untuk 160 buah unit Ascott Harmony yang dijadualkan dibuka pada 2017.

Ascott juga telah menandatangani kontrak untuk menguruskan 242 unit Ascott Marina Xiamen (pembukaan pada 2020), 224 unit Ascott TEDA MSD Tianjin (bakal dibuka menjelang akhir 2015), 218 unit Somerset Qianjiang Xincheng Hangzhou (pembukaan 2018) dan 184 unit Harmony Somerset di bandar Wuxi (pembukaan 2017).-- Bernama


The Ascott, Sri Racha

Artikel Lain