suria

Malaysia: Pelaburan Diluluskan Q1 2015 Meningkat Kepada RM57.4 Bilion

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Pelaburan yang diluluskan bagi sektor utama, perkhidmatan dan perkilangan meningkat 18.8 peratus kepada RM57.4 bilion pada suku pertama tahun ini (1Q15), berbanding RM48.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2014.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sektor perkilangan merupakan penyumbang utama, meliputi 58.5 peratus daripada jumlah keseluruhan atau bersamaan RM33.6 bilion, diikuti perkhidmatan (38.9 peratus atau RM22.3 bilion) dan sektor utama (2.6 peratus atau RM1.5 bilion).

"Peningkatan ini dicatat walaupun Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan Ekonomi Malaysia yang lebih rendah pada 2015.

"Ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik serta keupayaan negara bertahan dalam persekitaran yang semakin kompetitif," katanya dalam pengumuman Prestasi Pelaburan Malaysia 1Q15 di sini, Isnin.

Mustapa berkata, sebahagian besar pelaburan adalah daripada sumber tempatan, sebanyak RM47.4 bilion atau 82.6 peratus dan selebihnya pelaburan asing.

Beliau berkata prestasi suku pertama dianggap 'luar biasa' memandangkan ia tidak mengikut trend biasa, yang menyaksikan produk petroleum menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan.

"Terdapat peningkatan besar, terutama daripada Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas," katanya.

Mustapa berkata sehingga 30 Mei, 2015, pelaburan berjumlah kira-kira RM27 bilion dalam perancangan, menunggu diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Ini termasuk pelaburan RM17.6 bilion dalam sektor perkilangan dan RM8.8 bilion bagi perkhidmatan dengan sumber asing utama dari Australia, Hong Kong, Singapura, United Kingdom, Jepun, Pakistan, Taiwan, Korea dan Kanada.-- Bernama


Artikel Lain