suria

84 Peratus Projek RMK10 Siap - Fadillah

Fadillah Yusoff

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya berjaya menyiapkan 4,303 atau 84 peratus projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), kata menteri berkenaan Datuk Seri Fadillah Yusoff.

Beliau berkata, sehingga 31 Mac, kementerian itu diamanahkan melaksanakan sebanyak 5,095 projek di seluruh negara.

"Daripada keseluruhan jumlah itu, 358 projek lagi dalam peringkat pembinaan, manakala 434 projek di peringkat prapembinaan.

"Sebanyak 770 projek sahaja daripada keseluruhan projek RMK10 yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) lewat disiapkan mengikut jadual asal," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Rabu.

Abd Aziz ingin tahu jumlah kontraktor yang gagal dan lewat menyiapkan projek-projek kerajaan serta agensinya sejak 2010 hingga 2014.

Fadillah berkata, kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan telah dikenakan denda ganti rugi, manakala 128 kontrak projek RMK10 ditamatkan berikutan kegagalan pihak kontraktor.

"Kontraktor yang ditamatkan berkenaan telah diambil tindakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) termasuk tidak lagi dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perolehan atau tender projek kerajaan dalam tempoh masa tertentu," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh), Fadillah berkata kontraktor projek Kolej Matrikulasi Kelantan di Pasir Puteh telah diambil tindakan kerana gagal menyiapkan projek itu mengikut jadual asal dan didenda, membiayai serta membaiki kelemahan yang wujud semasa pembinaan kolej terbabit.

"Sementara itu, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bukan di bawah seliaan JKR kerana Malaysia Airports Berhad (MAB) melantik konsultan swasta untuk menguruskan projek terbabit," katanya.

Nasrudin ingin tahu apakah bentuk tindakan diambil terhadap kontraktor Kolej Matrikulasi Kelantan dan projek pembinaan KLIA2 yang lambat disiapkan sekaligus menyebabkan kos meningkat.-- Bernama



Artikel Lain