Medan Bukit Tua Petronas Di Indonesia Mula Beroperasi - Niaga | mStar

Medan Bukit Tua Petronas Di Indonesia Mula Beroperasi

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2015 2:36 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Petronas mencatat kejayaan penting dalam operasi huluannya di Indonesia apabila medan Bukit Tua mula beroperasi pada 17 Mei lepas.

Terletak di blok Ketapang kira-kira 110 kilometer di luar pantai Jawa Timur, peringkat awal pengeluaran medan itu dijangka menghasilkan 3,700 tong minyak sehari dan dua juta kaki padu standard gas sehari.

Pengurus Besar dan Pengurus Negara Operasi Di Indonesia, Hazli Sham Kassim dalam satu kenyataan berkata: "Kami bangga medan Bukit Tua telah mula mengeluarkan hasil dan ini adalah projek huluan terbesar Petronas di Indonesia setakat ini.

"Projek ini adalah pembangunan bersepadu untuk kemudahan sokongan lain, iaitu Pengeluaran Terapung Ratu Nusantara, kemudahan penyimpanan dan pemunggahan, saluran paip 110 kilometer dasar laut dan 4.7 hektar (11.6 ekar) kemudahan penerimaan daratan."

Pengeluaran medan itu boleh ditingkatkan secara berperingkat-peringkat sebelum mencapai kapasiti pengeluaran tertinggi 20,000 tong minyak sehari dan 50 juta kaki padu standard gas sehari.

Gas yang dihasilkan medan itu akan diangkut melalui saluran paip ke kemudahan penerimaan daratan di Gresik, Jawa Timur manakala minyak akan dipunggah ke kapal untuk eksport.

Melalui perjanjian di antara Petronas dan Petrogas Jatim Utama, dimiliki kerajaan wilayah Jawa Timur, gas itu akan digunakan untuk penjanaan elektrik bagi memenuhi permintaan tenaga Indonesia.Blok Ketapang dikendali anak syarikat Petronas di Indonesia, PC Ketapang II Ltd, dengan 80 peratus kepentingan dalam blok berkenaan.

Pegangan selebihnya dimiliki syarikat milik negara, Perusahaan Gas Negara melalui anak syarikatnya, PT Saka Ketapang Perdana. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Petronas , Bukit Tua , Jawa Timur
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan