suria

Barry Callebaut Sasar Tembusi Enam Pasaran Antarabangsa Baharu

PAHANG: Barry Callebaut yang merupakan pengeluar produk coklat yang terkemuka dan berkualiti merancang untuk menembusi enam pasaran baharu seperti Indonesia, China, India, Turki, Brazil serta Poland.

Naib Presiden, Cocoa Asia Pasifik, Richard Fahey berkata, jumlah pertumbuhan pasaran baharu muncul ini adalah melebihi purata iaitu tiga hingga 11 peratus pada setiap tahun.

"Perkembangan pesat ini banyak disumbangkan oleh kumpulan berpendapatan sederhana terutama di China dan Indonesia. Pada 31 Ogos 2014, jumlah jualan bagi Asia Pasifik adalah sebanyak 64,322 setan metrik atau RM954.961 juta," katanya.

Jumlah jualan global Barry Callebaut bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 1.7 juta setan metrik atau RM22.536 bilion.

Syarikat Swiss itu juga merancang untuk meningkatkan hasil koko dan kualiti kacang bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin bertambah.

Pengeluar coklat itu telah bekerjasama dengan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bagi menubuhkan KLK Selborne Estate, sebuah program penyelidikan agronomi, yang terletak di kawasan seluas 12 hektar bagi menyokong pembangunan serta meningkatkan pertanian koko di seluruh Asia Tenggara.

Di bawah program ini, Barry Callebaut telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Koko, lengkap dengan makmal agronomi dengan kemudahan penapaianan biji koko serta fasiliti pengeringan.

Ditanya jika Barry Callebaut akan terus memanfaatkan ladang koko KLK, Fahey berkata syarikat itu berminat untuk bekerjasama rapat dengan entiti perladangan itu bagi mengembangkan tanaman tersebut di Malaysia.

Rancangan itu bagaimanapun masih pada peringkat awal.

"Sekarang ini, koko dari ladang KLK menyumbang 100 tan secara asas tahunan,  dan jumlah itu menjelaskan hanya satu atau dua peratus daripada aktiviti perkilangan kami," kata Fahey.

Ia juga berminat untuk bekerjasama dengan syarikat perladangan tempatan yang lain untuk meningkatkan pengeluaran koko di Malaysia.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada daya tarikan dalam bentuk pulangan ke atas pelaburan.

"Sebagai contoh, kami terlibat dalam aktiviti tanah melalui program CocoaAction di Afrika Barat dan telah membelanjakan kira-kira RM53.564 juta untuk membantu petani tempatan meningkatkan produktiviti mereka.

"Sebagai balasan, ia mewujudkan rasa kesetiaan dan petani ini menjual koko mereka kepada kami," katanya kepada pemberita semasa program suai kenal dengan media Selasa.

Ladang-ladang koko Malaysia telah menurun dengan ketara iaitu daripada 33,994 hektar dalam 2005 kepada 16,070 hektar pada tahun lepas.

Daripada angka tersebut, pekebun kecil menyumbang sebanyak 15,243 hektar dan perladangan pula sebanyak 827 hektar.

Ketika 1980 dahulu, negara ini mempunyai tanaman koko merentasi 123,855 hektar.-- Bernama


Artikel Lain