suria

KPJ Healthcare Sasar Raih RM90 Juta Perolehan Pelancongan Kesihatan Pada 2015

KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd menyasar untuk meningkatkan perolehan daripada pelancongan kesihatan kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM78 juta pada 2014, kata Naib Presiden (1) Perkhidmatan Kewangan dan Korporat Mohd Sahir Rahmat.

Pada 2013, penyedia penjagaan kesihatan swasta itu mencatatkan perolehan sebanyak RM67.09 juta bagi sektor berkenaan.

Bagi memenuhi sasaran berkenaan, beliau berkata KPJ akan terus membawa teknologi baharu di samping memperluaskan perkhidmatannya untuk memenuhi keperluan pesakit.

"Pesakit pelancongan kesihatan kami antaranya datang dari Asia Tenggara (Indonesia), Timur Tengah (Libya) dan Afrika Timur (Somalia) dan mereka ke sini bagi mendapatkan kepakaran kami, sama ada dalam onkologi, ortopedik, neurologi atau rawatan jantung.

"Bagi menyokong sumber kami dalam Malaysia, kami telah melantik ejen luar di beberapa pasaran utama di luar negara untuk membantu pesakit memilih hospital  KPJ yang lebih sesuai dengan keperluan rawatan mereka.

"Ejen-ejen ini bekerja rapat dengan pasukan Pelancongan Kesihatan kami untuk mengatur setiap aspek penginapan dan rawatan pesakit luar kami di hospital-hospital kami," katanya kepada Bernama di luar program hari komuniti antarabangsa ketiga KPJ, Sabtu.

Dalam ucapannya, Setiausaha Bahagian Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan  Alan Abdul Rahim berkata, Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan perubatan paling popular di dunia, menarik lebih 770,000 pelancongan perubatan pada 2013 dan 790,000 pelancong kesihatan pada 2014 (menyumbang pendapatan kira-kira RM730 juta).

"Kadar pertumbuhan pendapatan dalam industri pelancongan perubatan telah melebihi sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 sebanyak 10 peratus setiap tahun dan bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas, pendapatan dijangka berkembang 15 peratus setahun, menjana perolehan kira-kira RM2 bilion menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata peningkatan jumlah pelancong perubatan disebabkan usaha bersama kerajaan Malaysia dan hsopital-hospital swasta serta agensi lain, menjadikan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sebagai sebahagian penting Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Di bawah projek permulaan mencergaskan lagi Pelancongan Penjagaan Kesihatan, enam hospital KPJ telah mewujudkan pusat setempat bagi semua perkara berkaitan pelancongan penjagaan kesihatan.

Enam hospital itu dengan pelaburan lebih RM800 juta, menyumbang lebih lima peratus kepada jumlah perolehan KPJ.

Artikel Lain