suria

Perodua Sasar Jual Satu Juta Myvi Akhir 2017

LANGKAWI: Perodua menyasar menjual satu juta Myvi menjelang akhir 2017 daripada 850,000 yang dicatatkan pada akhir April tahun ini, hasil daripada permintaan yang berterusan dan juga promosi lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata secara purata, tempahan bagi Myvi ialah kira-kira 8,000 unit sebulan.

"Kami agak yakin dengan aktiviti dan promosi yang dijalankan sehingga 2017, sasaran menjual satu juta Myvi akan dapat dicapai," katanya pada taklimat media di sini, Khamis.

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 74,700 kenderaan iaitu 34.8 peratus daripada anggaran 218,600 jumlah jualan keseluruhan industri.

"Daripada jumlah ini, 25,500 ialah kereta Myvi," kata Aminar.

Nisbah jualan Perodua ketika ini ialah 2.6 peratus bagi pasaran eksport.

Aminar berkata eksport dijangka meningkat sebaik sahaja Axia sedia untuk dihantar.

"Eksport Perodua Axia disasarkan bagi separuh kedua tahun ini ke enam pasaran, iaitu Indonesia, Singapura, Fiji, Nepal, Mauritius dan Sri Lanka," katanya.

Aminar juga berkata Perodua akan mengeksport dengan lebih agresif bermula 2017 dan ketika ini sedang memantapkan operasi bagi tujuan itu.

Pada masa hadapan, beliau berkata, pengeluar kereta nasional itu akan memperkenalkan model baharu, Perodua Sedan, tetapi tidak memberikan tempoh masa pelancarannya.

Menurut Aminar, model Sedan itu belum diluluskan dan kini di peringkat prototaip.   Sejak Perodua Myvi dilancarkan pada 2005, model itu memiliki 10 varian.

Generasi kedua Myvi dilancarkan pada 2011, menjadikannya model paling laris di negara ini.

Terdahulu, tahun ini, Perodua mengumumkan sasaran jualan 208,000 unit dengan sasaran hasil RM306 juta daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaannya, pelincir, kerangka dan operasi cat, serta RM258.9 juta daripada perniagaan alat-alat ganti dan aksesori bagi 2015.

Tahun lepas, Perodua menjual 195,600 kenderaan dan mencatatkan hasil RM303.4 juta bagi operasi selepas jualannya, serta RM243.7 juta bagi alat-alat ganti dan aksesori.

Perodua

Artikel Sebelum

Artikel Lain