suria

Digi Kekalkan Harga Pelan Prabayar, Pasca Bayar Berpatutan

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd akan mengekalkan harga pelan-pelan prabayar dan pasca bayarnya dalam usaha memastikan akses yang lebih pantas kepada Internet untuk semua.

Ketua Bahagian Pasca Bayarnya Praveen Rajan berkata, pelan Internet syarikat itu yang kini ditawarkan mulai RM25 bagi satu gigabait sangat kompetitif.

"Kami sudah pun menawarkan prabayar dan pasca bayar yang menarik, dan (harga) itu sangat kompetitif dalam pasaran," katanya pada kepada pemberita semasa ditanya sama ada Digi akan menurunkan harga pelan-pelan prabayar dan pasca bayarnya.

Dalam jangka panjang, Digi juga menyasarkan untuk meningkatkan kualiti liputan, katanya selepas melancarkan Evolusi Jangka Panjang (LTE) Generasi Keempat (4G) Digi, Khamis.

Syarikat telekomunikasi itu juga merancang meluaskan kehadiran rangkaian LTE ke seluruh negara kepada 45 peratus tahun ini daripada 33 peratus sedia ada.

Antara lain, ia memperuntukkan RM900 juta untuk perbelanjaan modal tahun ini untuk menyegerakan pelaksanaan LTE.

"Sepanjang tiga tahun lepas, kami melabur RM2.3 bilion untuk memodenkan dan memperkukuh rangkaian kami, terutama bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada 11.7 juta pelanggan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Albern Murthy.

Kerajaan dijangka melancarkan inisiatif seperti jalur lebar berkelajuan tinggi 2, jalur lebar pinggir bandar dan televisyen terestrial digital dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan, Khamis.-- Bernama

Digi, Praveen Rajan, Internet

Artikel Berikut

Artikel Lain