Schlumberger Ambil 60 Peratus Pakar Tempatan Untuk Pusat Serantau

Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 6:13 PM

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Schlumberger, syarikat perkhidmatan medan minyak terbesar di dunia, menyasar untuk mengambil sekurang-kurangnya 60 peratus pakar dan juruteknik mahir tempatan bagi pusat sokongan operasi barunya di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Presiden Operasi dan Integrasi syarikat, Patrick Schorn berkata Pusat Asia bagi Kebolehpercayaan dan Kecekapan (ACRE) yang mula beroperasi pada awal  Januari, dijangka menempatkan kira-kira 100 jurutera dan juruteknik mahir pada akhir 2015.

Beliau berkata hasil kehadiran selama 80 tahun di Malaysia, Schlumberger  yakin terhadap kepakaran dan pasukan kerja tempatan akan mempercepatkan  transformasi syarikat ke arah kebolehpercayaan dan kecekapan operasi yang lebih tinggi.

"ACRE adalah pusat seumpamannya yang pertama bagi Schlumberger dan Malaysia dipilih menjadi hab bagi rantau Asia.

"Pusat terkini ini bukan sahaja membawa amalan inovatif dan kepakaran untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan kami, tetapi juga menunjukkan  komitmen kukuh kepada Malaysia dan potensi Asia secara amnya," kata Schorn dalam ucapan alu-aluan pembukaan rasmi ACRE oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, di sini, Selasa.

Schorn berkata, ACRE merupakan satu langkah penting dalam transformasi perjalanan Schlumberger dan akan membolehkan syarikat menyampaikan  teknologi yang boleh dipercayai kepada pelanggan di rantau Asia Pasifik dan seterusnya di samping meningkatkan penyelenggaraan dan kecekapan aset.

Kemudahan seluas 200,000 kaki persegi itu memainkan peranan utama dalam pelancaran sistem dan teknologi baharu Schlumberger di Asia, dan dikhususkan  untuk memajukan penyelenggaraan dan perkhidmatan teknologi minyak dan gas bagi rantau Asia Pasifik.

Selain itu, bangunannya telah direka untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan diperakui dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Schlumberger , PKFZ , Patrick Schorn , ACRE

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan