suria

Syarikat O&G Malaysia Perlu Teroka Peluang Penggabungan, Kata Petronas

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas Malaysia mesti menimbang untuk meneroka peluang penggabungan bagi meningkatkan daya saing dan meletakkan industri itu dalam kedudukan baik apabila pasaran minyak global pulih.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, kini terdapat banyak peluang untuk penggabungan.

"Mereka yang mempunyai tunai yang banyak serta cara lain untuk membiayai penggabungan dan dipandu oleh fokus strategik yang jelas, akan mampu mengatasi pesaing di meja rundingan untuk memenangi tawaran," katanya.

Langkah itu, katanya juga akan meletakkan syarikat mereka mendahului pesaing apabila harga minyak pulih.

Wan Zulkiflee berkata demikian ketika berucap di Persidangan Minyak dan Gas Asia 2015 di sini, Isnin.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wan Zulkiflee berkata, syarikat yang mempunyai asas kukuh dalam bentuk portfolio bersepadu dan pelbagai, baki tunai yang kukuh serta aset bernilai tinggi, akan dapat mengharungi cabaran dengan lebih baik.

Beliau juga menggesa syarikat minyak dan gas untuk berkembang melepasi organisasi individu melalui usaha sama bagi menangani pelbagai isu dalam  pengaruh yang lebih luas.

"Industri perlu bertindak balas dengan cara yang padu bagi memberi kesan ketara ke arah mengurangkan kos dan meningkatkan tahap kecekapan.

"Ketika saingan untuk perniagaan baharu dan melindungi perniagaan sedia ada menjadi lebih sengit dalam persekitaran semasa, ia memberi peluang kepada organisasi memberi tumpuan untuk membangunkan kelebihan utama sebagai pembeza untuk memiliki ruang yang kompetitif," kata Wan Zulkiflee.

Menurutnya, kejatuhan harga minyak menyebabkan syarikat minyak dan gas mengkaji semula proses perniagaan dan struktur kos mereka dalam usaha mengurangkan perbelanjaan.

"Keadaan ini merupakan satu peluang jika kita melihatnya bukan sahaja sebagai langkah sementara, tetapi berusaha untuk memastikan proses dan struktur kos direka semula untuk kemudahan dan menyokong kos operasi lebih rendah dan kecekapan lebih tinggi dalam jangka panjang," katanya.

Persidangan tiga hari yang berakhir esok dan Bertemakan 'Merealisasikan Pelbagai Peluang Di Tengah-Tengah Cabaran' itu menarik 1,702 peserta daripada 18 negara.-- Bernama





Petronas, O&G

Artikel Sebelum

Artikel Lain