suria

Khazanah Terbit Sukuk RM100 Juta Untuk Pendidikan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (dua, kiri) melancarkan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Pertama Terbitan Khazanah Nasional di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Isnin. Turut hadir Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar (kanan), Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Ranjit Ajit Singh (dua, kanan) dan Pengerusi Yayasan AMIR yang juga Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (kiri).

KUALA LUMPUR: Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, menerusi syarikat terbitan khas, Ikhsan Sukuk Bhd, bakal menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab berdenominasi ringgit berjumlah RM100 juta bagi tujuan pendidikan.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, sukuk berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan merupakan terbitan sulung Program Sukuk RM1 bilion oleh Ikhsan Sukuk Bhd.

"Hasil penerbitan sukuk tersebut akan disalurkan kepada Yayasan Amir, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang diterbitkan Khazanah pada 2010," katanya pada majlis pelancaran sukuk berkenaan di sini, Isnin.

Sukuk itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Azman, Yayasan Amir memberi tumpuan kepada peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah kerajaan menerusi Program Sekolah Amanah, suatu perkongsian awam-swasta dengan Kementerian Pendidikan.

Sehingga tahun lepas, Program Sekolah Amanah Yayasan Amir mempunyai 30  sekolah di Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak dan memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 pelajar di seluruh negara.

Kata beliau, sukuk itu mengguna model "Bayar-untuk-Kejayaan" dalam instrumen pendapatan patuh Syariah, selain memasukkan matlamat pembangunan yang telah ditetapkan oleh Yayasan Amir.

Katanya, kesan sosial bagi sukuk itu diukur dengan menggunakan empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan dan akan dinilai dalam masa lima tahun.

KPI berkenaan, katanya, adalah pengembangan, di mana Yayasan Amir menyasarkan untuk menambah 20 sekolah tahun ini di dalam Program Sekolah Amanah, kompetensi guru, pengurusan kanan dan pencapaian pelajar.

Kata Azman, sekiranya KPI yang ditetapkan berjaya dicapai pada tarikh matang, pelabur sukuk akan melupuskan sebahagian jumlah nominal yang telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.

Namun, jika sasaran KPI yang ditetapkan gagal dicapai, pemegang sukuk layak menerima sepenuhnya jumlah nominal dibayar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Khazanah, Mohd Izanai Ghani berkata, bagi terbitan pertama, tempoh matangnya ialah tujuh tahun manakala kadar kuponnya akan ditentukan pertengahan minggu depan.

Program Sukuk berkenaan telah diberi penarafan awal AAA oleh RAM Rating Services Bhd. -- Bernama

Muhyiddin Yassin, Khazanah, sukuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain