suria

Asean Perlukan Kemajuan Ekonomi Mampan, Terangkum - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) ketika hadir merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-18, Isnin. Turut kelihatan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan (kanan).

KUALA LUMPUR: Kemajuan ekonomi yang diperlukan Asean mestilah mampan dan terangkum, dengan hasil kejayaan dikongsi bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjelang akhir tahun akan membolehkan aliran barangan, perkhidmatan, pelaburan dan tenaga kerja mahir yang lancar di rantau berkenaan.

"Semua petunjuk dan corak memihak kepada kita," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Ke-18 Minyak dan Gas Asia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kelembapan ekonomi di China tidak akan meminggirkan Asia sebagai pusat tumpuan, dengan Asia Tenggara sudah berubah daripada rantau yang berkonflik dan miskin kepada rantau yang maju dan berkembang sejak empat dekad lepas.

"Sejak 2001, 10 negara anggota Asean berkembang 300 peratus. Gabungan Asean  sudah pun menjadikannya ekonomi ketujuh terbesar di dunia," katanya, dan menambah, ia dijangka menjadi keempat terbesar menjelang 2050 selewat-lewatnya.

"Ketika ini kita sudah pun menjadi rantau pengeksport keempat terbesar di dunia," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata perbandaran Asean dan golongan kelas pertengahan yang semakin besar, dijangka mencecah 144 juta menjelang 2017, akan meningkatkan pertumbuhan dan permintaan pengguna ke atas tenaga.

"Penggunaan tenaga per kapita semasa hanya separuh daripada purata dunia, sekali gus akan berlaku peningkatan permintaan yang ketara," katanya.

Najib menegaskan bahawa selaku pengerusi Asean tahun ini, Malaysia akan memastikan usaha pembangunan komuniti berpaksikan rakyat - seperti Bajet terkini yang berfokuskan kepada Ekonomi Rakyat.-- Bernama

Asean, Najib Razak, minyak dan gas

Artikel Lain