suria

AirAsia Sasar Jualan RM50 Juta Pada AATF 2015

GEORGE TOWN: Acara AirAsia Travel Fair (AATF) 2015 di lima bandar tahun ini, termasuk di Pulau Pinang yang menjadi tuan rumah untuk julung kalinya, diunjur menjana jualan antara RM45 juta dan RM50 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar berkata, acara dua hari di Pulau Pinang yang juga antara destinasi utama pelancongan dan hab tertua syarikat penerbangan tambang rendah itu, dijangka meraih jualan RM5 juta.

"AATF bermula di Pulau Pinang dan seterusnya di Kuala Lumpur, Johor Baharu, Kota Kinabalu and Kuching dengan jualannya diunjur mencecah RM45 juta hingga  RM50 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran AATF oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hunza, Khor Tze Ming di sini, Sabtu.

Antara tarikan AATF seperti potongan 20 peratus untuk semua tempat duduk  penerbangan AirAsia dan AirAsia X bagi tempoh perjalanan dari 16 Jun, 2015 hingga 28 Januari 2016.

Pengunjung awal AATF Pulau Pinang turut menikmati tawaran eksklusif 'beli satu, percuma satu' bagi tiket penerbangan pergi balik sektor Kuala Lumpur-Macau dan tawaran terhad tempat duduk percuma untuk laluan Kuala Lumpur-Seoul.-- Bernama



AATF, AirAsia, Aireen Omar

Artikel Lain