suria

Malindo Air Tawar Perkhidmatan Internet Dalam Penerbangan

KUALA LUMPUR: Malindo Air akan menawarkan perkhidmatan melayari web menyeluruh tanpa had bermula 18 Mei dalam pesawat Boeing 737-900ER.

Syarikat penerbangan hibrid itu memilih Panasonic Avionics dan Aeromobile bagi komunikasi dalam penerbangan dan secara rasmi menjadi syarikat penerbangan pertama di rantau ini menawarkan perkhidmatan melayari web menyeluruh tanpa had, yang dinamakan Malindo WiFi dan Malindo Mobile.

"Malindo Air akan mula menawarkan sambungan jalur lebar dalam penerbangan eXConnect Panasonic dan perkhidmatan telefon mudah alih eXPhone yang dikuasakan oleh Aeromobile. Syarikat akan menawarkan perkhidmatan itu kepada pengguna tanpa mengehadkan jumlah penggunaan atau laman web," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata perkhidmatan baharu ini yang akan menggunakan teknologi terkini Panasonic dan Aeromobile dalam sambungan dalam penerbangan, merupakan bukti komitmen syarikat penerbangan itu untuk memantapkan produk dan perkhidmatannya sejajar dengan pelan pengembangan di Asia.

Dengan perkhidmatan telefon mudah alih global eXPhone yang dikuasakan oleh Aeromobile, penumpang boleh menggunakan suara, data, Khidmat Pesanan Ringkas dan hak perkhidmatan pelayaran daripada peranti mudah alih mereka menggunakan rangkaian selular dalam penerbangan.

Perkhidmatan eXConnect Panasonic membolehkan penumpang mengakses sambungan jalur lebar Wi-Fi bagi melayari web, menghantar dan menerima emel, kekal berhubung dengan media sosial dan mendapatkan berita dan banyak lagi apabila mereka berada di paras ketinggian 30,000 kaki (9,144 meter).

Malindo Air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain