suria

Rimbunan Hijau Buka Kilang Minyak Sawit Sempena Ulang Tahun Ke-40

SIBU: Kumpulan Rimbunan Hijau, antara syarikat multi-industri terbesar di Malaysia, meraikan ulang tahun penubuhannya ke-40 hari ini dengan perasmian Kilang Minyak Sawit RH Balingian di Balingian, Bahagian Mukah.

Kilang itu menandakan satu lagi pencapaian kumpulan tersebut dalam perladangan kelapa sawit dan aktiviti pemprosesan hiliran, yang mempunyai 70 buah syarikat dan 90,000 pekerja di seluruh dunia.

Pengarah RH Balingian Palm Oil Mill Sdn Bhd, Tiong Choon, berkata kilang yang bernilai RM120 juta dan dibina bermula pada suku akhir 2012, mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 120 tan dengan dua saluran pengeluaran.

"Ia mempunyai teknologi pengilangan terkini dan serba moden serta loji biogas merawat pelepasan gas dan efluen untuk memastikan mematuhi undang-undang  alam sekitar," katanya.

Beliau berkata tandan buah segar (FFB) akan diperoleh daripada 11 ladang kumpulan itu meliputi 24,000 hektar dan dari ladang dan pekebun kecil di kawasan sekitar untuk memastikan kemampanan kilang itu bagi tempoh jangka panjang.

Kilang itu dirasmikan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

"Langkah ini bukan sahaja meningkatkan perolehan negeri tetapi juga memberi peluang kepada kepada masyarakat luar bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka selain faedah sampingan yang dijana daripadanya," kata Awang Tengah dalam ucapannya.

Kilang itu ketika ini memerlukan kira-kira 160 pekerja, dan dengan peluasan ladang kelapa sawit di wilayah tengah pada masa akan datang, lebih ramai akan diambil bekerja, katanya.

Kilang tersebut menggunakan gentian dan tempurung daripada FFB untuk menghasilkan wap tekanan tinggi, yang akan memacu turbin untuk menjana tenaga, membantu mengurangkan pencemaran berikutan bahan api fosil yang amat sedikit digunakan, katanya. -- Bernama

Artikel Lain