suria

Nafas Cadang Kumpul Dana RM1 Bilion Tubuh Bank Peladang

PASIR PUTEH: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) meletakkan sasaran untuk membuka bank peladang sendiri menjelang 2020.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifolbahari Suib berkata bagi tujuan itu, pertubuhan berkenaan kini giat mengumpul dana sebanyak RM1 bilion melalui pelbagai agensinya merangkumi 14 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) setiap negeri dan 277 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mempunyai 860,000 anggota di seluruh negara.

"Setakat ini kita berjaya mengumpul sejumlah RM200 juta sejak dua tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Tiga Daerah di sini.

Beliau memberi jaminan setiap anggota yang melabur dalam dana berkenaan akan mendapat 10 peratus hasil keuntungan setahun dalam tempoh lima tahun.

Katanya, keuntungan itu hasil daripada perniagaan baja padi dan sawit, baja kapur dan jentera perladangan.

Selain itu, beliau berkata mulai Jun pihaknya akan menempatkan 400 pelajar terutama anak-anak peladang untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Beliau berkata ia atas usahasama dengan UniKL bagi bidang berasaskan kejuruteraan ladang dan pertanian.

Katanya, mereka terdiri daripada anak-anak petani yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam disebabkan kemiskinan atau tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Kita berharap selepas tamat mengikuti pengajian mereka dapat mengubah corak pertanian dan meningkatkan pendapatan keluarga," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain