suria

Iskandar Malaysia Catat RM7.98 Bilion Pelaburan Pada Suku Pertama 2015

JOHOR BARU: Iskandar Malaysia berjaya mencatat RM7.98 bilion pelaburan baharu pada suku pertama tahun ini.

Ia menjadikan pelaburan kumulatif yang diperolehi daripada 2006 sehingga 31 Mac 2015 sebanyak RM166.10 bilion.

Ketika mengumumkan jumlah pelaburan berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM78.53 billion atau 47 peratus  daripadanya merupakan pelaburan yang direalisasi sebagai projek dilaksana.

Menurutnya, pelaburan domestik berjumlah RM102.34 bilion atau 62 peratus manakala selebihnya pelaburan asing.

"Kita terus melihat sokongan kukuh daripada Singapura, China, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Jepun.

"Bagaimanapun, pelaburan domestik yang benar-benar mencerminkan keyakinan kepada pembangunan di wilayah itu," kata Mohamed Khaled selepas melancarkan Pusat Data Synergy Cloud di Terminal Penerbangan Perniagaan Senai, di sini, Rabu.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) berkata, sebahagian besar daripada pelaburan kumulatif itu adalah daripada sektor pengeluaran yang menyumbang 31 peratus atau RM50.82 bilion.

Beliau gembira Iskandar Malaysia berada di landasan yang betul untuk merealisasikan wawasannya.

Menurutnya, pelancaran Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDPii) menjelang suku kedua tahun ini, akan menawarkan pelbagai prospek dan peluang di Iskandar Malaysia, ketika usaha itu bergerak ke fasa kematangan ketiga pada 2025.

Daripada 2007 hingga 2014, sebanyak 651,536 pekerjaan diwujudkan di Johor dalam pelbagai sektor seperti pengeluaran, hospitaliti, makanan dan minuman serta pendidikan.

"Komuniti tempatan perlu menerima perubahan yang berlaku dan merebut peluang yang muncul daripada pelaburan yang dibawa masuk. Mereka perlu merebut peluang untuk menjadi perintis dalam bidang baharu atau menginovasi produk sedia ada untuk menyokong sektor utama," kata Mohamed Khaled.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim berkata, terdapat maklum balas menggalakan dan permintaan untuk CDPii kerana ramai pelabur berpotensi dan sedia ada, selain pemerhati penyelidikan pasaran berminat untuk mengetahui apa yang telah dipertingkatkan dalam pelan induk berkenaan.

"Sudah tentu terdapat tumpuan yang lebih kepada pengurusan sosial dan persekitaran dan semua strategi serta hala tuju telah dibentangkan secara sistematik bagi memastikan Iskandar Malaysia membangun secara mapan di segi ekonomi, sosial dan persekitaran," tambahnya.- Bernama


Artikel Lain