suria

Dana Mudah Cara RM104.2 Juta Diluluskan Untuk 41 Syarikat Di Sarawak

KUCHING: Jawatankuasa Dana Mudah Cara Sarawak telah meluluskan sejumlah RM104.2 juta bagi pembiayaan projek 41 syarikat bumiputera sejak tahun lepas, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Datuk Naroden Majais.

Menurutnya, nilai pelaburan keseluruhan bagi 41 projek berkenaan adalah sebanyak RM748.5 juta.

"Projek yang diluluskan itu termasuk minyak dan gas, hartanah, pembinaan, pelancongan dan perusahaan makanan yang turut menawarkan sebanyak 1,650 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Garis Mula Institut Keusahawan Negara (INSKEN) 500:Pra-pelancaran Program Intensif Latihan dan Bimbingan Perniagaan, di sini, Selasa.

Seramai 600 peserta menghadiri program anjuran INSKEN dan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri Sarawak bagi peningkatan 500 buah syarikat ke tahap lebih tinggi.

Menurut Naroden, pelbagai program yang telah diperkenalkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) terbukti mencapai kemajuan yang sebegitu menggalakkan.

"Setakat ini sebanyak 62 syarikat Sarawak telah diperakukan sebagai syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras). Selain itu, 26 syarikat Teras di negeri ini telah mendapat kelulusan Dana TERAS dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM83.4 juta," katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif INSKEN, Norizan Sharif berkata sejak kewujudan lima wilayah koridor ekonomi, Teraju telah meluluskan dana bernilai RM964 juta bagi pembiayaan projek 254 syarikat di seluruh negara dengan nilai pelaburan keseluruhannya sebanyak RM8.13 bilion.

"Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan oleh usahawan bumiputera, termasuk dari Sarawak," katanya.--Bernama

Sarawak, Naroden Majais, bumiputera

Artikel Lain