SGSP BSN Catat Simpanan RM514 Juta Sehingga 2014

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2015 7:51 PM

Ketua Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti Bank Simpanan Nasional (BSN) Datuk Mearia Hamzah (empat, kanan) bersama para pelajar yang memenangi Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) bagi kategori individu pada majlis penyampaian hadiah SGSP BSN itu hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat BSN Siew Kim Meng (tiga dari kanan)

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) mencatat sejumlah RM514 juta hasil simpanan melibatkan lebih 800,000 penyertaan di kalangan pelajar dari lebih 6,800 sekolah sehingga 2014.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN, Datuk Yunos Abdul Ghani berkata, jumlah berkenaan adalah peningkatan 100 peratus berbanding pada 2013 yang mencatatkan simpanan melebihi RM376 juta dengan penyertaan daripada 567,000 pelajar dan lebih 5,600 sekolah.

"Ini membuktikan SGSP adalah satu kejayaan apabila berjaya meraih dan mencapai sasarannya untuk mempertingkatkan simpanan dan aktiviti tabungan dalam kalangan pelajar," katanya ketika berucap di Majlis Anugerah SGSP 2014, di sini.

Menurut Yunos, skim berkenaan memiliki kelebihan apabila ia juga satu pertandingan yang boleh disertai pelajar dan sekolah.

"Skim ini akan memudahkan pelajar menabung dan pada masa sama, mereka akan ditawarkan hadiah wang tunai yang ditentukan berdasarkan peningkatan bersih bagi jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan purata simpanan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BSN akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mempertingkatkan usaha dalam mendekati komuniti setempat menerusi Program Celik Kewangan.

"Program Celik Kewangan bertujuan memupuk sifat menabung berpanjangan dalam diri pelajar dan bakal diadakan di beberapa Pejabat Pendidikan Daerah terpilih sahaja," katanya.

Tags / Kata Kunci: SGSP , BSN , Yunos Abdul Ghani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan